LONDON: Lebih 3,500 gereja di seluruh United Kingdom (UK) ditutup dalam tempoh sedekad lalu berikutan kemerosotan kehadiran penganut dan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.
Penutupan gereja-gereja itu menyaksikan banyak bangunan bersejarah terbiar dalam keadaan uzur hingga berisiko dirobohkan, namun sebahagian daripadanya mendapat nafas baharu apabila diubah menjadi pelbagai kemudahan awam.
Antaranya termasuk kediaman, pusat komuniti, perpustakaan, muzium, pusat seni, teater, pejabat, restoran, pub malah kelab malam dan lebih menarik lagi, ada gereja yang diubah suai menjadi masjid sebagai refleksi perubahan demografi agama di negara tersebut.
Menurut National Churches Trust (NCT), anggaran sebanyak 3,000 hingga 5,000 gereja paroki di UK kini ditutup atau hanya digunakan secara berkala tanpa kehadiran paderi tetap dan keadaan itu diburukkan lagi dengan penurunan mendadak kehadiran jemaah yang jatuh daripada 788,000 pada 2013 kepada 557,000 pada 2023, terutama selepas pandemik Covid-19 memaksa banyak gereja beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian.
Data bancian kerajaan UK pada 2021 menunjukkan buat pertama kali dalam sejarah, penganut Kristian menjadi golongan minoriti di England dan Wales.
Sebanyak 46 peratus atau 27.5 juta penduduk mengaku beragama Kristian, merosot daripada 59 peratus (33.3 juta) pada 2011 sebaliknya, bilangan penganut Islam meningkat kepada 3.9 juta (6.5 peratus) berbanding 2.7 juta (4.9 peratus) dalam tempoh yang sama.
Antara gereja yang diubah suai termasuk St Mark’s di Mayfair, London yang kini menjadi pasar makanan mewah selepas melalui proses pengubahsuaian bernilai 5 juta pound (RM30.2 juta) namun bangunan tersebut masih mengekalkan ciri asal termasuk makam dan karya seni.
Di Watford, sebuah gereja yang ditutup pada 2015 dibeli oleh pertubuhan Islam tempatan, Ar-Rahmah Trust dengan harga 3.5 juta pound (RM21.1 juta) untuk dijadikan Masjid Al-Ummah.
Bagaimanapun, tidak semua usaha menukar gereja menjadi masjid mendapat kelulusan kerana pada Ogos tahun lalu, CofE menggunakan klausa perundangan untuk menghalang Gereja St John di Stoke-on-Trent daripada dijadikan masjid.










