Trump tangguh kenaikan tarif keluli dan aluminium Kanada

Trump tangguh kenaikan tarif keluli dan aluminium Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menangguhkan rancangan untuk menaikkan tarif import keluli dan aluminium dari Kanada kepada 50 peratus, menurut penasihat ekonomi kanan Presiden, Donald Trump.

Dalam temu bual bersama CNBC semalam, Peter Navarro memaklumkan tarif berkenaan tidak akan dikuatkuasakan hari ini seperti yang dirancang.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Ontario, menggantung surcaj ke atas eksport elektrik ke beberapa negeri di AS.

Surcaj tersebut sebelum ini dikatakan menjadi punca keputusan Trump untuk menaikkan tarif import keluli dan aluminium dari Kanada, meningkat daripada 25 peratus yang masih dijadualkan berkuat kuasa hari ini.

Perkembangan ini mencerminkan dasar ekonomi ‘Amerika didahulukan’ yang sukar dijangka serta kekeliruan berhubung pengumuman mengenai tarif.

Hubungan AS-Kanada merosot sejak Trump memperkenalkan tarif tinggi ke atas pelbagai barangan dari Kanada dan mengancam untuk mengambil alih negara jiran itu.

Sebahagian tarif AS terhadap Kanada telah dikuatkuasakan minggu lalu sebagai usaha Trump untuk mengimbangi hubungan dagangan kedua-dua negara, namun kerajaan Kanada menolak langkah itu sebagai tidak berasas dan mengumumkan tindak balas balas.

Kanada dan AS adalah rakan dagang utama, dengan AS mengimport barangan bernilai AS$412.7 bilion (RM1.8 trilion) dari Kanada pada 2024,

Eksport AS ke Kanada berjumlah AS$349.4 bilion (RM1.5 trilion) di mana negara tersebut merupakan pembekal utama keluli dan aluminium kepada AS, dengan import bernilai AS$19.5 bilion (RM86.45 bilion) tahun lalu, menurut data S&P Global.

Walaupun wujud kebimbangan bahawa perang perdagangan yang berpanjangan akan menjejaskan ekonomi AS, pentadbiran Trump mempertahankan dasar tarifnya sebagai langkah menutup defisit perdagangan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×