Jika anda mencari aktiviti tenang dan santai untuk dilakukan di bulan Ramadan, apa kata cuba membuat lilin kreatif.
Bengkel Candleliin Atelier yang terletak di Cheras menawarkan pengalaman menghasilkan lilin dengan rekaan unik.
Dalam masa sama, aktiviti ini memberi terapi minda dalam meredakan tekanan, di samping meningkatkan kreativiti individu.
Antara bengkel yang mendapat sambutan ramai ialah penghasilan lilin pasir berwarna.
Bagi yang pertama kali mencubanya, jangan risau kerana terdapat tenaga pengajar yang akan membimbing sepanjang proses itu.
Lilin kreatif jenis ini akan melalui proses susunan lapisan menggunakan parafin ( bahan untuk membuat badan lilin) dalam bentuk pasir.
Manakala gambaran bentuk pula diinspirasikan daripada pemandangan, objek dan sebagainya, di dalam bekas kaca lutsinar.
Dalam bengkel ini, setiap peserta akan diberikan kelengkapan seperti minyak pati, pewarna, parafin berbentuk pasir dan beberapa batang aiskrim.
Untuk menikmati pengalaman ini, harga yang dikenakan adalah RM89 seorang.

Salah satu keistimewaan aktiviti ini adalah tempoh pembuatannya yang tidak terlalu panjang, sekitar satu hingga satu setengah jam sahaja.
Ini menjadikannya pilihan ideal bagi sesiapa yang ingin mengisi masa lapang, sebelum berbuka puasa.
Selain itu, pilihan waktu kelas juga bergantung kepada kesesuaian peserta
Jika datang bersama rakan atau keluarga, aktiviti ini boleh menjadi satu pengalaman yang bermakna kerana dapat berkongsi kegembiraan dalam mencipta sesuatu yang istimewa bersama-sama.
Bengkel ini juga sesuai untuk dilakukan secara individu atau dalam kumpulan kecil. Patikan, anda membuat temu janji dengan Candleliin Atelier sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh yang diinginkan untuk datang ke bengkel.
Beri ketenangan jiwa
Membuat seni lilin pasir berwarna bukan sahaja memberikan kepuasan dalam mencipta sesuatu dengan tangan sendiri, tetapi juga membantu mengurangkan tekanan.
Warna-warna pasir yang terang dan bauan aromaterapi yang dipilih dapat memberi kesan menenangkan, menjadikan aktiviti ini sebagai terapi minda yang sempurna.
Aktiviti ini membolehkan anda melupakan seketika kesibukan harian dan memberi ruang untuk menikmati sesuatu yang indah dan bermakna.
Selain itu, aktiviti ini juga membantu meningkatkan kreativiti dan ketelitian dalam menciptakan kombinasi warna yang harmoni.
Dengan suasana bengkel yang tenang dan dekorasi minimalis, aktiviti ini menjadi satu pengalaman yang amat menyenangkan, terutama bagi mereka yang ingin berehat seketika daripada kesibukan harian.
Candleliin Atelier juga, menawarkan suasana yang selesa dan estetik, sesuai untuk bergambar dan berkongsi pengalaman di media sosial.
Anda juga akan membawa pulang lilin unik yang dihasilkan sendiri sebagai kenang-kenangan atau dihadiahkan kepada orang tersayang.










