TERENGGANU jauh ketinggalan dalam pembangunan politik wanita. Ketika Johor lebih berbangga dengan 26.8 peratus, perwakilan wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berhenti pada angka kecil iaitu 3.1 peratus atau hanya seorang daripada keseluruhan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Statistik ini bukan sahaja rendah tetapi turut menonjolkan betapa kritikalnya situasi perwakilan wanita di Terengganu. Tiada seorang pun ADUN wanita selama 44 tahun dari 1974 hingga 2018. Malah, tiada wakil rakyat wanita di Parlimen bermula sejak 1964.
Namun begitu, peluang besar menanti Terengganu untuk melonjak daripada kedudukan paling rendah kepada antara negeri terbaik dalam perwakilan wanita, malah mampu mengatasi negeri-negeri Pulau Pinang (10 peratus), Sabah (8.2 peratus) dan Sarawak (6.1 peratus) yang dilihat lebih mesra wanita.
Persoalannya terletak pada keberanian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr. Sam), yang juga disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN). Adakah beliau bersedia untuk sekali lagi mencatat sejarah?
Pada 2003, di bawah Kerajaan Negeri Pas kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Terengganu mengambil langkah bervisi dengan memperkenalkan Fasal 27(2) Perlembagaan Negeri Terengganu, membuka jalan untuk pelantikan seramai empat ADUN tambahan wanita atau bukan Muslim sekiranya tiada seorang ADUN dipilih daripada dua kumpulan ini.
Pada 2018, apabila Dr. Sam memegang tampuk kerajaan Terengganu, beliau mencatat sejarah kali pertama apabila Zuraida Md. Noor menjadi ADUN wanita dilantik pertama negeri itu, 15 tahun setelah kewujudan Fasal 27(2).
Langkah tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi juga menjadi sinar baharu yang membawa harapan besar kepada golongan wanita yang sekian lama menyepi dalam arus politik perdana itu.
Pelantikan Zuraida selama satu penggal membuka mata rakyat terhadap potensi besar yang dimiliki oleh pemimpin wanita. Melalui tempoh lantikan tersebut, ketokohan beliau diiktiraf sehingga dicalonkan dan berjaya memenangi kerusi N15 Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Beliau menjadi ADUN wanita dipilih selepas 49 tahun.
Kemenangan ini jelas membuktikan apabila wanita diberikan peluang sewajarnya melalui kerusi lantikan, mereka mampu menonjolkan bakatnya, membawa suara baharu ke dalam DUN serta menjadi pemacu utama agenda pembangunan dan kesejahteraan negeri.
PERKASA WANITA
Namun, kini muncul cabaran baharu. Di bawah Fasal 27(2) sedia ada, Terengganu kini tidak boleh melantik lebih ramai ADUN wanita melainkan mereka merupakan calon bukan Islam.
Ini bermaksud jika ada Zuraida kedua, ketiga dan keempat, mereka tidak dapat peluang menjadi ADUN dilantik. Kemunculan ADUN wanita Islam kedua perlu mengatasi rintangan pencalonan dalam parti masing-masing atau menunggu Zuraida bersara.
Sementara itu, Terengganu mungkin akan terus statik pada pencapaian 3.1 peratus (1/32) iaitu hanya 1/10 daripada penanda aras minimum 30 peratus yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1995 dalam perwakilan wanita untuk sedekad dua. Sungguhpun pada teorinya Terengganu boleh serta beranjak ke 13.9 peratus (5/36) dengan pelantikan empat ADUN wanita bukan Islam, ini tidak pragmatik apabila hanya sekitar 2 peratus pengundi bukan Islam di Terengganu.
Maka, sejarah sekali lagi memanggil kebijaksanaan dan keberanian Dr. Sam untuk membawa Terengganu ke hadapan dalam pemerkasaan wanita.
Langkah pertama yang perlu diambil adalah meminda Fasal 27(2) agar empat kerusi lantikan wanita ini dijadikan sebagai amalan tetap, meskipun ada ADUN wanita yang telah dipilih melalui pilihan raya. Ini menjamin perwakilan wanita di DUN Terengganu bermula pada 11.1 peratus (4 daripada 36 kerusi) secara automatik. Bakat-bakat wanita Islam seperti Zuraida boleh terus muncul dan tidak berhenti dengan seorang wakil.
Bahkan, Dr. Sam boleh mengambil dua lagi langkah yang lebih bervisi dengan menggubal sebuah enakmen untuk empat kerusi ini.
Langkah kedua adalah mengagihkan empat kerusi ADUN wanita dilantik ini dengan kaedah perwakilan berkadar senarai parti (party-list proportional representation), iaitu mengikut peratusan undi parti politik yang bertanding dalam PRN yang lepas.
Berdasarkan keputusan PRN 2023, tiga kerusi akan diperuntukkan untuk PN dan satu lagi untuk Barisan Nasional (BN). Tanpa menggugat dominasi kerajaan negeri PN, DUN akan menjadi demokratik dengan seorang ADUN wanita pembangkang yang mewakili 28.7 peratus pengundi yang menyokong BN. Ia akan menghantar isyarat positif bahawa PN dan Pas menjunjung semangat musyawarah dan sedia berkongsi kuasa.
Terengganu juga perlu memastikan setiap parti menamakan sekurang-kurangnya seorang wanita bukan Islam dan seorang wanita muda (bawah 30 tahun) dalam dua kedudukan teratas calon lantikan. Pertimbangan asal pada 2003 untuk menjamin suara bukan Islam tetap terpelihara, malah kini turut memastikan perwakilan wanita muda yang sering dipinggirkan.
Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA) dan Bait Al Amanah menyediakan sebuah laporan bertajuk, Meningkatkan Perwakilan Wanita Dalam Politik di Terengganu: Kerusi Tambahan Khusus untuk Wanita (WOAS). Ia mengandungi cadangan rang undang-undang untuk pindaan Perlembagaan Negeri dan enakmen.
Sudah tiba masanya Malaysia memberi peluang yang saksama buat wanita dalam gelanggang politik. Kita perlu berganjak daripada sekadar 13.5 peratus perwakilan wanita di Parlimen. Sejarah kini memanggil Dr. Sam untuk memimpin transformasi berani, bermula di Terengganu. Projek SAMA dan Bait Al Amanah bersedia memberi sokongan penuh dalam merealisasikan usaha penting ini. – UTUSAN
FARAH Ilyana Mohd. Anuar ialah Penganalisis Penyelidikan di Bait Al Amanah.
WO Chang-Xi ialah Penganalisis Penyelidikan, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway dan ahli Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA).










