SEOUL: Mahkamah Korea Selatan membatalkan waran tangkap terhadap Presiden, Yoon Suk Yeol yang pada hari Jumaat, tetapi beliau dilaporkan kekal dalam penjara dengan pihak pendakwaan berkemungkinan akan membuat rayuan.
Peguam Suk Yeol memfailkan permintaan untuk membatalkan waran tangkapnya bulan lepas, dengan alasan penahanannya adalah menyalahi undang-undang kerana pihak pendakwaan menunggu terlalu lama untuk mendakwanya.
“Adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa dakwaan telah difailkan selepas tempoh tahanan defendan tamat.
“Untuk memastikan kejelasan prosedur dan menghapuskan sebarang keraguan mengenai kesahihan proses penyiasatan, adalah wajar untuk mengeluarkan keputusan membatalkan penahanan itu,” kata dokumen dari Mahkamah Daerah Pusat Seoul.
Pembatalan itu bagaimanapun, tidak membenarkan beliau dibebaskan serta-merta.
“Walaupun mahkamah memutuskan untuk membatalkan penahanan, defendan tidak segera dibebaskan.
“Defendan akan dibebaskan hanya jika pihak pendakwa mengetepikan hak untuk merayu atau tidak memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan,” kata peguam Yoon, Seok Dong-hyeon.
Suk Yeol mengheret Korea Selatan yang demokratik ke dalam kegawatan pada bulan Disember tahun lalu dengan mengisytiharkan darurat dan menghantar tentera ke Parlimen.
Pemimpin berusia 64 tahun itu turut mengelak penahanan selama dua minggu dalam pertikaian tegang antara pasukan keselamatannya dan penyiasat di kediaman rasminya di Seoul, tetapi akhirnya ditahan pada 15 Januari.
Beliau juga menghadapi perbicaraan pendakwaan di Mahkamah Perlembagaan, yang akan menentukan sama ada penyingkirannya daripada jawatan itu dikekalkan.
Perbicaraan untuk kes itu selesai minggu lalu, dengan lapan hakim mahkamah ditetapkan untuk bersidang secara tertutup bagi memutuskan nasib Suk Yeol.
Keputusan dijangka pada pertengahan Mac dan Korea Selatan perlu mengadakan Pilihan Raya Presiden dalam tempoh 60 hari jika Suk Yeol disingkirkan.
Penggubal undang-undang di Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah memuji keputusan mahkamah pada Jumaat.
Penyokong Suk Yeol segera berkumpul di hadapan kediamannya sambil mengibarkan bendera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Perbicaraan pendakwaan kini tertumpu kepada sama ada Suk Yeol melanggar perlembagaan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera, yang dikhaskan untuk kecemasan negara atau masa perang.
Pembangkang menuduh beliau telah mengambil langkah luar biasa tanpa alasan yang sewajarnya.
Peguam Suk Yeol mendakwa beliau mengisytiharkan undang-undang tentera untuk menyedarkan negara tentang bahaya diktator perundangan oleh pembangkang.-AFP











