Suntikan AstraZeneca bermula hari ini - Utusan Malaysia

Suntikan AstraZeneca bermula hari ini

DR. DHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penerima vaksin AstraZeneca dinasihatkan sentiasa memantau tahap kesihatan masing-masing dan perlu segera mendapat rawatan jika mengalami apa-apa gejala dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin itu.

Gejala itu termasuk sakit kepala teruk tidak berkurangan selepas mengambil ubat tahan sakit atau sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok, sakit kepala luar biasa disertai dengan pandangan kabur, loya dan muntah.

Gejala lain ialah sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan selain mengalami bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan selain sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut berterusan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya memantau rapi penerima vaksin AstraZeneca yang mula diberikan kepada orang ramai mulai hari ini khususnya jika berlaku kejadian darah beku.

Bagaimanapun, menurut beliau, kesan sampingan kejadian darah beku itu sangat jarang dilaporkan dan memberi jaminan bahawa rawatan segera akan diberikan jika kes tersebut benar-benar berlaku.

Dr. Adham berkata, bagi pangamal perubatan yang merawat kes tersebut pula, perlulah menyiasat sama ada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.

Katanya, pengamal perubatan perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sama ada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.

Sehubungan itu, jelas Dr. Adham, pemeriksaan-pemeriksaan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera.

“Rawatan serta-merta perlu jika keputusan ujian menunjukkan pembekuan darah benar-benar berlaku.

“Pakar hematologi (hematologist) perlu dihubungi untuk mendapatkan khidmat nasihat. Pengamal perubatan juga perlu membuat laporan Adverse Event Following Immunisation (AEFI) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Adham memberitahu, data-data klinikal di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa vaksin AstraZeneca sangat berkesan terutamanya untuk mencegah jangkitan Covid-19 yang teruk, kes yang memerlukan kemasukan wad dan kematian.

Katanya, badan regulatori antarabangsa termasuk UK dan European Medicine Agency (EMA) mengesahkan keberkesanan vaksin tersebut adalah mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin.

Sejumlah 268,800 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca habis ditempah rakyat hanya selepas tiga jam pendaftaran dibuka kepada orang ramai baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×