Belanjawan 2027 dijangka pacu grid tenaga, AI dan semikonduktor - Utusan Malaysia

Belanjawan 2027 dijangka pacu grid tenaga, AI dan semikonduktor

PUSAT data dan teknologi tenaga dijangka dapat tumpuan dalam Belanjawan 2027. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 dijangka memberi tumpuan lebih besar kepada pengukuhan infrastruktur tenaga negara, termasuk peningkatan kapasiti grid, penyimpanan bateri, solar berskala besar dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui oleh sektor korporat.

Menurut MBSB Research, langkah itu dilihat penting bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat susulan perkembangan sektor semikonduktor, pusat data dan taman perindustrian di negara ini.

“Selain pembangunan kapasiti grid dan sistem penghantaran tenaga, kerajaan dijangka mempertimbangkan sokongan kepada pemerolehan tenaga boleh diperbaharui korporat serta inisiatif kecekapan tenaga.

“Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilihat antara penerima manfaat utama sekiranya pelaburan dalam grid dan sistem penghantaran tenaga dipertingkatkan menerusi Belanjawan 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, syarikat tenaga solar dan penyimpanan tenaga seperti Pekat Group Bhd dan Samaiden Group Bhd turut berpotensi menikmati peluang baharu susulan perkembangan tenaga boleh diperbaharui.

“Syarikat dalam segmen peralatan elektrik dan kabel juga dijangka menerima limpahan daripada peningkatan permintaan terhadap infrastruktur elektrifikasi.

“Bagaimanapun, pelabur disaran lebih selektif dalam menilai syarikat yang mempunyai pendedahan kepada industri pusat data.

“Pemilihan syarikat tidak seharusnya berdasarkan tema pusat data semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kapasiti kuasa yang telah diperoleh, kekuatan pelanggan, keterlihatan projek serta keupayaan melaksanakan projek mengikut jadual,” katanya. 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, Belanjawan 2027 dijangka memperluas agenda teknologi negara melangkaui pembinaan pusat data kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomersialan teknologi, infrastruktur digital berdaulat, keselamatan siber serta aktiviti semikonduktor bernilai tinggi.

“Antara langkah yang berpotensi diperkenalkan termasuk geran padanan atau potongan cukai kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melabur dalam AI dan automasi.

“Kerajaan juga berpotensi menyediakan sokongan bagi perbelanjaan pengkomputeran awan dan keselamatan siber, selain meningkatkan latihan kemahiran berkaitan AI,” katanya.

Dalam sektor semikonduktor, pembiayaan bagi reka bentuk cip, pembungkusan termaju serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berpotensi diberi perhatian bagi meningkatkan nilai tambah industri tempatan.

Syarikat seperti Oppstar Bhd. berpotensi menerima manfaat menerusi perkembangan aktiviti reka bentuk litar bersepadu tempatan.

Sementara itu, syarikat peralatan dan perkhidmatan semikonduktor seperti Pentamaster Corporation Bhd, Greatech Technology Bhd, Frontken Corporation Bhd, Inari Amertron Bhd dan ViTrox Corporation Bhd. turut berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan ekosistem industri bernilai tinggi.

Bagaimanapun, potensi manfaat kepada sektor teknologi dan semikonduktor tidak hanya bergantung kepada peruntukan Belanjawan 2027.

Sektor berkenaan masih terdedah kepada kitaran semikonduktor global, permintaan teknologi antarabangsa serta keputusan pelaburan syarikat multinasional.

Justeru, sokongan kerajaan perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pelaburan swasta dan peningkatan keupayaan industri tempatan, bukannya satu-satunya sumber pertumbuhan pendapatan syarikat.

Secara keseluruhannya, sektor utiliti dan elektrifikasi dilihat antara penerima manfaat utama sekiranya Belanjawan 2027 memberi keutamaan kepada pengukuhan grid, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur sokongan industri.

AI dan teknologi pula berpotensi menjadi tema pelaburan yang lebih selektif, khususnya bagi syarikat yang mempunyai keupayaan sebenar dalam reka bentuk cip, automasi, R&D, keselamatan siber dan pengkomersialan teknologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×