Pelbagai barang tiruan berjenama lebih RM60,000 dirampas - Utusan Malaysia

Pelbagai barang tiruan berjenama lebih RM60,000 dirampas

SEORANG anggota penguat kuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa barangan berjenama terkenal yang disyaki tiruan dalam serbuan terhadap dua buah premis perniagaan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai lebih RM60,000 dalam serbuan di dua buah premis perniagaan di sini, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat bersama dua wakil pengadu iaitu syarikat Global Trade Sheild Sdn. Bhd. dan Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn. Bhd. selaku pemilik cap dagangan berdaftar untuk barangan berkenaan selepas satu risikan awal dilakukan.

S. JEGAN

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis-premis itu kemudian menemukan pelbagai barangan berjenama terkenal seperti Puma, Adidas, Nike, Louis Vuitton, Dior dan Chanel yang disyaki tiruan.

“Pihak KPDN kemudian merampas sejumlah 4,830 helai seluar; 190 baju; 510 coli sukan; 1,544 topi, 625 beg serta 369 unit minyak wangi yang kesemuanya terdiri daripada pelbagai jenama.

“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM62,087,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Jegan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud
perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Sabit kesalahan bagi pertubuhan atau perbadanan, katanya, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu untuk kesalahan pertama.

Jelas beliau, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya pula, denda tidak melebihi RM30,000 boleh dikenakan jika terbukti bersalah.

“Sementara itu, jika pelaku bukan terdiri daripada pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.

“Kesalahan kedua dan berikutnya pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah Jegan, pihaknya mengingatkan serta memberi amaran kepada orang ramai atau mereka yang berkenaan supaya tidak melakukan aktiviti penjualan barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.

“Pada masa sama, pengguna juga dinasihatkan berhati-hati terutama apabila membeli alat keperluan rumah sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian selain menjejaskan keselamatan mereka sendiri,” katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat berhubung aktiviti itu boleh dilaporkan kepada pihak KPDN bersama butiran yang lengkap melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, e-mel dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya