‘Jangan tuding jari pada kami’ - Utusan Malaysia

‘Jangan tuding jari pada kami’

PERSOALAN matang atau tidaknya pertimbangan anak muda dalam membuat pilihan ketika mengundi ialah perkara yang sangat subjektif. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah kali pertama rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas diberi hak mengundi secara automatik. Anak muda sudah menterjemahkan suara mereka pada kertas undi bagi memilih calon yang mereka kira layak untuk memimpin negara.

Sebagai generasi Undi18, saya turut berpeluang menunaikan tanggungjawab besar ini buat pertama kalinya pada PRU bersejarah ini. Dua peristiwa penting dalam sejarah negara telah dicatatkan dalam PRU ini.

Pertama, had umur minimum pengundi dan calon diturunkan dari 21 kepada 18 tahun. Kedua, buat julung kalinya tiada gabungan parti yang bertanding dapat memenangi majoriti mudah bagi membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Seperti biasa, apabila menghadapi keadaan yang bercelaru, pasti ada yang mencari jalan mudah bagi menyelesaikan kekusutan dengan cara menuding jari ke arah pihak lain.

Rumah siap pahat berbunyi, kini sudah kedengaran suara kurang enak mempersoalkan kematangan golongan yang belum mengenali dunia politik diberi hak membuat pertimbangan bagi memilih kerajaan.

Namun, bukankah hal ini sepatutnya diperhalusi sebelum dan bukannya selepas rang undang-undang (RUU) bagi usul Undi18 diluluskan? Kami yang berumur 18 sehingga 20 tahun hanya menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak berwajib. Bahkan, ramai dalam kalangan generasi Undi18 tidak cakna akan tanggungjawab mereka dan tidak keluar mengundi.

Seperti semua maklum, sebelum RUU bagi usul Undi18 diluluskan, banyak pihak meminta ia diperhalusi sebelum diluluskan. Persoalan dibangkitkan, adakah anak muda berumur 18 tahun sudah bersedia untuk memilih pemimpin?

Namun, ahli-ahli Parlimen yang membahaskan perkara ini yakin pada umur 18 tahun, para remaja sudah bersedia membuat keputusan yang tepat. Malah, mereka sebulat suara bersetuju bukan sahaja untuk menurunkan had umur pengundi, tetapi juga had umur calon.

Persoalan matang atau tidaknya pertimbangan anak muda dalam membuat pilihan sepenting ini ialah perkara yang sangat subjektif. Ia bergantung kepada setakat mana ilmu serta pendedahan yang diberikan kepada mereka tentang dunia politik serta dasar pemerintahan negara.

Taraf pendidikan serta sikap peka perihal politik negara juga memainkan peranan sangat besar dalam membantu mereka untuk memahami fakta sebenar supaya tidak mudah dipermainkan oleh mereka yang berkepentingan.

Bagi saya, tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas golongan Undi18 kerana golongan lain juga ada khilafnya dalam membuat pertimbangan. Adakah sudah memadai segala usaha yang dilakukan untuk mendidik para remaja supaya mereka dapat berfikir dengan konstruktif?

TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER

Tanpa pengetahuan dan kesedaran tentang keadaan sebenar, para remaja mudah tertipu dan ditipu oleh gambaran keadaan yang tidak wujud atau bertentangan dengan keadaan sebenar. Justeru, ibu bapa dan pihak berwajib perlu meneliti hal ini dan mengambil langkah yang perlu agar para remaja dapat berfikir dengan matang.

Kita perlu bersikap positif dalam mengatur langkah ke hadapan. Tiada gunanya kita merungut mencari siapa yang patut disalahkan kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah di hadapan kita.

Persaingan politik yang sengit menjadikan suasana politik negara begitu panas dan disulami pelbagai khabar angin, persepsi serta fitnah bertujuan menjatuhkan pihak lawan. Maka, anak muda yang baru bertatih inilah yang menjadi sasaran utama mereka.

Memandangkan mereka ialah pengundi atas pagar yang boleh mengubah keputusan sehingga pada saat-saat akhir, mereka diasak dengan pelbagai janji dan propaganda, khususnya melalui aplikasi media sosial khasnya TikTok, Facebook dan Twitter.

Justeru, mereka menjadi mangsa kepada suasana politik yang tidak sihat. Tanpa kesedaran politik, ramai dalam kalangan mereka terperangkap dan menjadi mangsa politik tidak sihat ini. Dalam hal ini, siapakah yang lebih bersalah; mangsa atau pemangsa?

Hari ini, suasana politik negara amat dinamik, berubah-ubah dalam sekelip mata. Hal ini dapat dijangka jika kita meneliti sejarah politik negara. Ketika PRU pertama dahulu, pembangkang hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Tanah Melayu. Ini bermakna kerajaan menyapu bersih hampir semua kerusi dipertandingkan.

Namun, majoriti tinggi ini tidak dapat dikekalkan untuk selama-lamanya akibat perpecahan parti-parti induk. Contohnya, kerajaan memenangi 60 peratus kerusi sahaja pada PRU13, kurang tiga peratus daripada kerusi dimenangi pada PRU12. Tidak seperti sebelumnya, rakyat tidak lagi bersepakat atas satu pilihan sahaja.

Perkara ini menjadi lebih ketara ketika PRU14 pada 2018, apabila kita menyaksikan kemunculan gabungan ketiga di bawah nama Gagasan Sejahtera yang diterajui Pas. Semasa pilihan raya tersebut, majoriti berjaya dimenangi gabungan parti yang membentuk kerajaan berkurangan kepada 55 peratus sahaja; manakala gabungan baharu tersebut memperoleh 18 kerusi.

Keadaan ini menunjukkan trend selera pengundi telah berpecah kepada parti-parti baharu ditubuhkan setelah tertarik dengan pelbagai propaganda dan janji-janji politik.

Ketika menyiapkan tugasan sains politik di universiti, saya membincangkan hal ini dan menjangkakan kemungkinan berlakunya keputusan tipis yang akan membawa kepada kebuntuan politik akibat Parlimen tergantung.

Akibatnya, kestabilan negara akan terganggu. Akhirnya, ia menjadi kenyataan pada PRU15 di mana tiada kerajaan yang dapat dibentuk setelah keputusan PRU diumumkan.

Kita harus bersyukur kerana negara ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam saat genting seperti ini. Jangan sampai kita kehilangan segala-galanya akibat kegilaan politik. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN