Dalam industri hiburan Hollywood, ramai yang percaya kejayaan perlu diraih ketika usia muda. Namun, hakikatnya tidak semua bintang terkenal menempuh jalan yang sama.
Ada yang terpaksa menunggu puluhan tahun, bergelut dengan watak-watak kecil dan mengharungi pelbagai sepak terajang industri sebelum diberi peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar.
Walaupun mengambil masa lama untuk mencipta nama, mereka akhirnya muncul sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan dunia, malah membuktikan kesabaran dan ketekunan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan. Berikut nama-nama yang membuktikan bahawa kejayaan tidak mengenal usia:-
Melissa McCarthy
Aktres, Melissa McCarthy mula aktif dalam industri hiburan sekitar awal 1990-an sebagai pelawak berdiri atau stand up comedian sebelum beralih ke bidang lakonan.
Melissa mula mendapat perhatian menerusi siri televisyen (TV) Gilmore Girls yang disiarkan pada tahun 2000 hingga 2007. Namun, ketika itu namanya masih belum dianggap sebagai bintang utama Hollywood. Pada 2010, beliau membintangi sitkom Mike & Molly yang meningkatkan popularitinya. Setelah hampir dua dekad aktif dalam bidang lakonan, popularitinya meningkat naik apabila membintangi filem Bridesmaids pada usia 40 tahun.
Christoph Waltz
Pelakon, Christoph Waltz mula aktif dalam dunia lakonan sejak akhir 1970-an, namun namanya hanya dikenali di Eropah dan tidak begitu terkenal di Hollywood.
Nama Christoph mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat apabila membintangi filem Inglourious Basterds sebagai Kolonel Hans Landa pada 2009 ketika berusia 53 tahun.
Lakonan tersebut turut menerima pujian ramai dan membolehkannya memenangi Oscar. Selepas itu, Christoph terus mencipta nama di Hollywood menerusi filem seperti Django Unchained dan Spectre.
MORGAN FREEMAN
Pelakon, Morgan Freeman mula berlakon sejak tahun 1960-an dan banyak membawakan watak kecil di kaca TV dan teater sebelum lebih dikenali. Nama Morgan mula mendapat perhatian ramai apabila membintangi filem Street Smart ketika usianya mencecah 50 tahun.
Lakonannya dalam filem itu turut melayakkannya menerima pencalonan Oscar pertama. Kemudian, Morgan terus mencipta kejayaan menerusi filem seperti Driving Miss Daisy, The Shawshank Redemption dan Se7en.
Pedro Pascal
Sejak awal pembabitan, aktor versatil, Pedro Pascal banyak membawakan watak-watak kecil dalam drama dan filem tanpa mendapat perhatian besar selama lebih 20 tahun bergelar pelakon.
Namanya mula dikenali apabila melakonkan watak Oberyn Martell dalam filem Game of Thrones pada 2014 ketika usianya 39 tahun.
Walaupun hanya muncul untuk satu musim, lakonan Pedro berjaya meninggalkan kesan yang kuat kepada penonton. Popularitinya terus melonjak naik selepas membintangi siri The Mandalorian dan The Last of Us.
Bryan Cranston
Pelakon, Bryan Cranston mengambil masa yang agak lama untuk mencapai populariti dalam industri hiburan. Walaupun sudah lama berlakon, Bryan lebih terkenal menerusi watak sampingan dan komedi sebelum namanya mula mendapat perhatian umum.
Kerjaya seninya berubah apabila beliau membintangi siri Breaking Bad pada tahun 2008 sebagai Walter White ketika berusia 52 tahun.
Kejayaan Breaking Bad melonjakkan nama aktor itu ke peringkat antarabangsa dan membuka lebih banyak peluang dalam kerjayanya.










