KUANTAN: Komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pembangunan sukan diterjemahkan menerusi peruntukan berjumlah RM3.5 juta tahun ini bagi menganjurkan liga melibatkan tiga sukan utama negeri iaitu bola sepak, bola jaring dan sepak takraw.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta diperuntukkan bagi penganjuran liga bola sepak, RM1 juta untuk bola jaring dan RM500,000 bagi sepak takraw.
Menurutnya, peruntukan itu bertujuan menyediakan platform pembangunan bakat bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang mampu mewakili Pahang dan seterusnya negara.
“Ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan sukan, bukan sekadar menganjurkan kejohanan secara bermusim atau sekejap ada, sekejap tiada.
“Kita mahu liga ini berlangsung secara konsisten supaya menjadi medan terbaik mencungkil bakat baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Liga Bola Jaring Perdana Pahang 1st-Piala Menteri Besar Pahang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Mengulas prestasi sukan bola jaring negeri, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan berjumlah RM500,000 tahun depan, sekali gus menjadikan keseluruhan dana bagi sukan itu meningkat kepada RM1.5 juta.
Katanya, pertambahan peruntukan itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang yang dipamerkan skuad bola jaring Pahang di peringkat kebangsaan. – UTUSAN










