Tiga beranak diberkas tipu warga emas - Utusan Malaysia

Tiga beranak diberkas tipu warga emas

BARANG kemas milik wanita warga emas yang dirampas susulan tangkapan terhadap tiga beranak di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik licik tiga beranak memperdaya warga emas kononnya menawarkan bantuan kebajikan berakhir apabila mereka diberkas polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor, Jumaat lalu.

Suspek wanita bersama seorang anak lelaki dan perempuan berusia antara 22 hingga 50 tahun itu ditahan pada pukul 4.10 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan terhadap ibu dan dua anak itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita warga emas berusia 67 tahun.

Katanya, wanita itu mendakwa menjadi mangsa penipuan ketika berada di Hospital Teluk Intan pada 29 Jun lalu.

“Mangsa didatangi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan sebelum menawarkan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM2,000 sebulan.

“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai kononnya bagi tujuan memproses permohonan bantuan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tanpa mengesyaki sebarang muslihat, mangsa menyerahkan seutas rantai leher emas, sepasang subang bersama rantai pendek dan tiga cincin emas kepada suspek.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak kembali menemuinya sebelum membuat laporan polis.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM8,000,” katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan polis bukan sahaja berjaya menahan ketiga-tiga suspek, malah berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang sempat dijual oleh anak suspek di sebuah pajak gadai di Teluk Intan.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 4 hingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN