Penjagaan wajah wanita 40-an

Penjagaan wajah wanita 40-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA yang makin menginjak bukan alasan untuk mengabaikan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan.

Dengan rutin yang betul, ia dapat membantu memastikan kulit wanita kekal sihat, anjal dan berseri.

Pakar kecantikan dan kesihatan, Dr. Nurul A’in Sa’ari berkata, wanita yang berusia antara 40 hingga 50 tahun memerlukan penjagaan yang lebih khusus kerana perubahan yang dialami pada kulit.

Justeru, katanya, pemilihan kandungan produk anti-penuaan yang tepat amat penting dalam memastikan kulit kekal sihat.

“Penggunaan retinoid dapat membantu merangsang pengeluaran kolagen, mengurangkan kedutan dan memperbaiki tekstur kulit.

“Manakala produk yang mempunyai asid hyaluronik pula, mampu mengekalkan kelembapan dan menjadikan kulit lebih anjal,” katanya.

Menurut Nurul A’in, di usia 40-an, penghasilan kolagen dan elastin, terutama di bahagian wajah semakin berkurangan.

Maka, penggunaan peptides mampu berfungsi dalam penghasilan kolagen yang mencukupi, untuk mengekalkan ketegangan kulit.

“Pemakaian produk antioksidan seperti vitamin C dan E di samping niacinamide melindungi kulit daripada radikal bebas serta membantu mencerahkan kulit.

“Tidak ketinggalan, penggunaan pelindung matahari bagi mencegah penuaan pramatang akibat sinaran ultraviolet (UV),” katanya.

Dalam aspek solekan, katanya, wanita dalam lingkungan umur ini lebih sesuai dengan solekan yang ringan kerana perubahan pada tekstur kulit.

Kulit yang semakin kering dan kurang anjal menyebabkan solekan tebal lebih mudah menyerlahkan garis halus.

“Penampilan yang lebih segar dan natural dapat dicapai dengan mengurangkan solekan tebal, di samping memberi fokus kepada penjagaan kulit.,” katanya.

Selain itu, masalah pori yang semakin besar boleh menyebabkan liang tersumbat jika solekan berlebihan.

 


Urut wajah

Urutan wajah juga disarankan kerana ia memberikan banyak manfaat. Ia meningkatkan peredaran darah ke kulit, membekalkan lebih banyak nutrien dan oksigen yang diperlukan.

“Urutan juga membantu merangsang penghasilan kolagen bagi mengekalkan keanjalan kulit serta melegakan ketegangan otot wajah, sekali gus mengurangkan garis-garis halus dan kedutan,” katanya.

Dengan urutan berkala, produk yang digunakan dapat menyerap dengan lebih baik ke dalam kulit.

Selain mengutamakan penjagaan kecantikan luaran, kecantikan dalaman juga amat penting, kerana ia memainkan peranan dalam mengekalkan keremajaan kulit.

Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral perlu diutamakan, sebaliknya pengambilan gula serta makanan yang diproses perlu dikurangkan.

Hidrasi yang mencukupi amat penting untuk mengelakkan kulit kering yang boleh membuatkan kedutan lebih ketara.

Tidur yang berkualiti turut membantu dalam proses pemulihan dan pertumbuhan sel-sel kulit baharu.

Pengurusan stres melalui aktiviti seperti yoga, meditasi dan teknik pernafasan dalam dapat mengelakkan tekanan yang boleh memberi kesan negatif pada kulit.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×