Tentera Israel sedia sambung semula perang di Gaza

Tentera Israel sedia sambung semula perang di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel sedang membuat persiapan untuk menyambung semula peperangan di Gaza sekiranya tiada perjanjian dicapai bagi melanjutkan gencatan senjata, lapor pihak berkuasa penyiaran Israel pada Sabtu.

Penyiar itu juga memetik sumber rapat dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk beralih ke fasa kedua perjanjian pertukaran tahanan.

Bagaimanapun, Saluran 13 Israel memetik pegawai Israel yang tidak dinamakan melaporkan, Netanyahu cenderung untuk melanjutkan gencatan senjata selama beberapa hari lagi sebelum kemungkinan kembali berperang di Gaza.

KAN memetik sumber keselamatan kanan yang menegaskan bahawa mencapai keamanan di Gaza memerlukan perjanjian aktif, sambil memberi amaran bahawa hanya ada dua pilihan iaitu pembebasan tahanan atau peperangan.

Sumber keselamatan lain memberi amaran bahawa jika pertempuran disambung semula, ia akan menjadi lebih dahsyat berbanding sebelumnya, terutamanya dengan ‘lampu hijau’ yang diberikan Presiden Amerika Syarikat, (AS), Donald Trump kepada Israel.

Sementara itu, kumpulan pejuang Hamas menegaskan semula komitmennya untuk melaksanakan semua syarat gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan memandangkan fasa pertama perjanjian itu hampir berakhir.

Hamas juga mendesak pengantara untuk segera memberi tekanan ke atas Israel agar meneruskan fasa kedua perjanjian tersebut.

Fasa pertama gencatan senjata berakhir pada Sabtu, manakala fasa kedua sepatutnya bermula pada hari ke-16 perjanjian, iaitu 3 Februari.

Namun, Netanyahu menyekat proses itu dengan tujuan melengahkan fasa pertama bagi membebaskan lebih ramai tebusan Israel dari Gaza.

Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan, Netanyahu memulakan rundingan dengan menteri-menteri Kabinet untuk membincangkan masa depan perjanjian Gaza, selepas Hamas menolak cadangan Israel untuk melanjutkan fasa pertama perjanjian tersebut.

Menurut laporan itu, Netanyahu juga mengadakan rundingan telefon dengan pegawai politik dan keselamatan kanan pada Jumaat, selepas delegasi rundingan Israel pulang dari Kaherah.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Selain itu, Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC) ekoran peperangan di wilayah tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×