BAITULMUQADDIS: Hamas menyeru rakyat Palestin untuk pergi ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis dan melaksanakan ibadah serta beriktikaf sepanjang bulan Ramadan.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang itu menggesa rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat, Baitulmuqaddis dan dalam Israel untuk menggerakkan semua usaha bagi mengimarahkan Masjid Al-Aqsa.
“Biarkan hari dan malam yang diberkati dalam Ramadan ini didedikasikan kepada ibadah, keteguhan dan penentangan terhadap musuh, serta mempertahankan Baitulmuqaddis dan Al-Aqsa sehingga ia dibebaskan daripada pendudukan,” kata Hamas.
Hamas juga menyeru rakyat Palestin di seluruh dunia untuk melancarkan inisiatif dan solidariti bagi menyokong saudara Islam di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.
Semalam, pendakwah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri berkata, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan keselamatan yang ketat di Baitulmuqaddis, konon atas alasan kebimbangan keselamatan, walaupun tujuan sebenar adalah untuk menyekat akses rakyat Palestin ke masjid itu.
Setiap tahun sepanjang Ramadan, Israel melaksanakan langkah yang mengehadkan akses rakyat Palestin ke Masjid Al-Aqsa.
Penduduk Palestin melihat sekatan itu sebagai sebahagian daripada dasar meluas Israel untuk menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai kawasan Yahudi, dan menghapuskan identiti Arab serta Islam.- ANADOLU










