Trump, Zelensky saling telagah bincang konflik Ukraine

Trump, Zelensky saling telagah bincang konflik Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pertemuan Presiden Volodymyr Zelensky dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington, DC, berakhir secara tiba-tiba selepas kedua-dua pemimpin itu bertelagah dan saling bertikam lidah mengenai perang Russia terhadap Ukraine.

10 minit terakhir daripada pertemuan hampir 45 minit itu bertukar menjadi perdebatan tegang antara Trump, Zelensky dan Naib Presiden AS, JD Vance.

Dalam pertemuan di pejabat Oval, Trump memarahi Zelensky dan menuduhnya memperjudikan nyawa jutaan orang serta menegaskan tindakan beliau boleh mencetuskan Perang Dunia III.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertelingkah bermula apabila Vance dan Trump menegur Zelensky tidak menghormati dan tidak cukup berterima kasih kepada AS atas sokongan negara itu.

“Tuan Presiden, say rasa adalah tidak hormat untuk anda datang ke Pejabat Oval dan cuba membincangkan perkara ini di hadapan media Amerika,” kata Vance.

Zelensky cuba membantah menyebabkan Trump meninggikan suaranya dan menuduh Presiden Ukraine itu sedang memperjudikan nyawa berjuta orang.

“Anda sedang mempertaruhkan nyawa berjuta orang. Anda mempertaruhkan Perang Dunia III dan apa yang anda lakukan sangat tidak menghormati negara ini,” jerit Trump.

Terdahulu, Trump berkata, AS akan terus memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, tetapi berharap agar jumlah yang dihantar tidak terlalu banyak.

“Kami tidak mahu menghantar terlalu banyak senjata. Kami mahu perang ini selesai supaya boleh melakukan perkara lain,” kata Trump.

Beliau juga mencadangkan Zelensky supaya tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut sebarang konsesi.

“Anda bukan dalam kedudukan yang baik. Anda tiada kelebihan sekarang, dengan kami barulah anda mula mempunyai kelebihan,” katanya.

Ketika pemimpin Ukraine itu meninggalkan Rumah Putih sejurus selepas pertelingkahan tersebut, Trump segera menulis di aplikasi Truth Social bahawa Zelensky tidak bersedia untuk keamanan jika Amerika terlibat.

“Dia tidak menghormati Amerika Syarikat di Pejabat Oval. Dia boleh kembali apabila bersedia untuk mencapai keamanan,” kata Trump.

Zelensky kemudian memuat naik di X selepas pertemuan itu untuk mengucapkan terima kasih di atas sokongan AS.

“Terima kasih POTUS, Kongres dan rakyat Amerika. Ukraine memerlukan keamanan adil dan berkekalan serta kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.– AP/AL JAZEERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN