BAITULMUQADDIS: Israel meneruskan dasar sekatan di kawasan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis sepanjang bulan Ramadan, bermula hujung minggu ini.
Sepanjang Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin datang untuk menunaikan solat di Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci bagi umat Islam, yang terletak di Baitulmuqaddis Timur, dalam kawasan diduduki oleh Israel.
Tahun ini, Ramadan berlangsung dalam keadaan gencatan senjata rapuh di Gaza, yang sebahagian besarnya menghentikan pertempuran selepas perang dahsyat mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah Palestin itu.
“Sekatan biasa bagi keselamatan awam akan diteruskan seperti dilakukan setiap tahun,” kata jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, dalam taklimat dalam talian kepada wartawan.
Tahun lepas, ketika perang di Gaza, pihak berkuasa Israel mengenakan ‘sekatan keselamatan’ terhadap pengunjung ke Al-Aqsa, terutama kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki.
Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan memasuki kawasan masjid ‘atas alasan keselamatan’, manakala ribuan anggota polis Israel dikerahkan di seluruh Kota Lama Baitulmuqaddis.
Mencer memberi bayangan bahawa langkah berjaga-jaga akan diambil sekali lagi tahun ini.
“Sudah tentu tiada negara akan membenarkan mereka yang cuba menimbulkan keganasan dan serangan ke atas pihak lain,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai kerahan polis tahun ini.
Kawasan Masjid Al-Aqsa merupakan simbol identiti nasional Palestin.
Mengikut peraturan sedia ada, orang Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak dibenarkan berdoa di kawasan tersebut, yang mereka anggap sebagai tapak Kuil Kedua mereka, yang dimusnahkan oleh Rom pada tahun 70 Masihi.
Kerajaan Israel telah berulang kali menyatakan hasrat untuk mengekalkan status quo di kawasan tersebut, tetapi kebimbangan Palestin mengenai masa depan mereka telah menjadikannya titik panas keganasan.
Tahun lepas, Israel membenarkan umat Islam beribadah di Al-Aqsa dalam jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya, walaupun perang sedang berlaku di Gaza.– AGENSI










