Pekerja kesihatan Gaza dibiar kelaparan, disiram air panas

Pekerja kesihatan Gaza dibiar kelaparan, disiram air panas

ORANG ramai mengangkat plakad yang mengandungi potret Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hossam Abu Safieh yang ditahan Israel, semasa protes solidariti di bandar Ramallah, Tebing Barat, 14 Januari lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Laporan Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) mendedahkan penindasan sistematik Israel terhadap pekerja kesihatan Palestin di Gaza.

Menurut laporan itu, Israel sewenang-wenangnya menahan pekerja kesihatan Palestin tanpa pertuduhan atau akses kepada peguam, menyeksa dan mengenakan layanan buruk terhadap mereka.

Antara Julai hingga Disember, peguam yang bekerjasama dengan organisasi bukan untung Israel itu melawat lebih 24 kakitangan perubatan Palestin, termasuk doktor, jururawat dan paramedik berusia antara 21 hingga 69 tahun, yang menghabiskan lebih enam bulan dalam pengasingan selepas ditahan rejim.

Kesemua mereka dikurung di pelbagai kemudahan tahanan Israel, termasuk penjara Sde Taiman, Ktzi’ot, Nafha. Petah Tikva dan Ofer di Tebing Barat.

Dalam laporan setebal 21 muka surat itu, PHRI berkata, keterangan daripada pekerja kesihatan menunjukkan penahanan Israel lebih cenderung untuk mengumpul maklumat risikan dan bukan menyiasat dakwaan penglibatan mereka dalam konflik di Gaza.

“Ini menunjukkan dasar sistematik yang melanggar hak asasi manusia dan mengesahkan penahanan itu bersifat sewenang-wenangnya serta tidak sah di bawah standard undang-undang antarabangsa,” kata PHRI.

PHRI ialah sebuah kumpulan advokasi Israel dengan dianggotai oleh profesional perubatan dan aktivis hak asasi manusia, yang turut menyediakan perkhidmatan perubatan secara langsung di wilayah Palestin dan Jaffa.

Keterangan saksi mendedahkan, tahanan didera hampir setiap hari, termasuk mengalami penderaan seksual, dipukul, diserang anjing, dibiarkan kelaparan dan disiram air panas.

Sehingga September lalu, Israel menahan lebih 250 pekerja kesihatan di Gaza, menurut Healthcare Workers Watch Palestine, yang mengumpulkan maklumat mengenai profesional perubatan sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.

PHRI turut melaporkan lebih 180 orang masih ditahan dan menggesa pembebesan segera semua kakitangan perubatan, termasuk jaminan perlindungan.- CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×