RABAT: Raja Maghribi, Raja Mohammed VI meminta rakyat negara itu untuk mengelak melaksanakan ibadah penyembelihan kambing biri-biri sempena sambutan Aidiladha tahun ini berikutan penurunan jumlah ternakan di negara itu akibat kemarau yang berpanjangan.
Pesanan itu disampaikan dalam surat yang dibacakan bagi pihaknya oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmed Taoufiq, di televisyen negara Al Oula.
Menurut data rasmi, jumlah ternakan lembu dan kambing di Maghribi menurun sebanyak 38 peratus pada 2025 berbanding bancian terakhir akibat kemarau yang melanda tujuh tahun berturut-turut.
“Kami komited untuk memastikan anda dapat menunaikan ibadah ini dalam keadaan yang terbaik.
“Namun ia turut disertai dengan kewajipan untuk mempertimbangkan cabaran iklim dan ekonomi dihadapi negara kita, yang telah menyebabkan penurunan ketara dalam jumlah ternakan.
“Melaksanakan ibadah ini dalam keadaan sukar akan memberi kesan yang besar kepada segmen besar rakyat kita, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” titah Raja Mohammed VI .
Penurunan hujan sebanyak 53 peratus berbanding purata 30 tahun kebelakangan ini menyebabkan kekurangan padang rumput untuk makanan haiwan ternakan.
Pengeluaran daging turut menurun, menyebabkan harga naik di pasaran tempatan dan meningkatkan import lembu, kambing, dan daging merah.
Negara itu baru-baru ini menandatangani perjanjian untuk mengimport sehingga 100,000 kambing dari Australia.
Dalam bajet 2025, Maghribi telah menggantung cukai import dan cukai nilai tambah ke atas lembu, kambing, unta serta daging merah bagi menstabilkan harga di pasaran domestik. -AFP










