Israel bebaskan 642 tahanan Palestin

Israel bebaskan 642 tahanan Palestin

TAHANAN Palestin yang dibebaskan Israel disambut oleh saudara-mara sebaik tiba di bandar Ramallah, Tebing Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel membebaskan ratusan tahanan Palestin, sejurus selepas Hamas menyerahkan mayat empat tebusan Israel secara tertutup kepada Palang Merah.

Pembebasan seramai 642 tahanan Palestin dari Penjara Ofer itu dibuat seperti dipersetujui pada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Kepulangan mereka termasuk tahanan yang dihukum penjara seumur hidup disambut tangisan kegembiraan ahli keluarga yang setia menanti di Tebing Barat.

Seramai 97 daripada tahanan dibawa ke lintasan Rafah untuk dihantar ke Mesir.

Terdahulu, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan penerimaan keranda empat tebusan yang terkorban di Gaza.

Hamas juga akur untuk mengembalikan keempat-empat keranda itu secara tertutup bagi mengelakkan Israel mencari alasan untuk menangguhkan proses pembebasan tahanan.

Mereka sepatutnya dibebaskan pada hujung minggu lalu, tetapi Israel menghentikan proses itu berikutan kemarahan terhadap upacara yang dilakukan Hamas ketika membebaskan tebusan yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023.

Perbalahan itu telah mengancam fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza rapuh yang berakhir pada Sabtu.

Hamas berkata, Israel kini tidak mempunyai pilihan selain memulakan rundingan fasa kedua.

“Kami menghalang justifikasi palsu musuh dan mereka kini tidak mempunyai pilihan selain memulakan rundingan untuk fasa kedua,” kata kumpulan itu di Telegram.

Di Washington, Utusan Tertinggi Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff  mengesahkan wakil Israel akan menghadiri rundingan mengenai fasa gencatan senjata seterusnya di Gaza.

“Kami membuat banyak kemajuan. Israel sudah menghantar pasukannya. Ia sama ada di Doha atau di Kaherah, di mana rundingan akan bermula sekali lagi dengan Mesir dan Qatar,” jelasnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×