Video AI 'pusat peranginan' Gaza buat ramai berang

Video AI ‘pusat peranginan’ Gaza buat ramai berang

PIX5: VIDEO Gaza 2025 What’s Next? dibuka dengan orang ramai melalui jalan bertaburan runtuhan keluar dari terowong menuju pantai dengan pokok palma dan kapal layar.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Akaun media sosial rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengejutkan dunia dengan menyiarkan video janaan kecerdasan buatan (AI) menggambarkan Gaza bertukar menjadi pusat peranginan tepi laut, penuh dengan patung emas dirinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Video yang mendapat lebih 29 juta tontonan di Instagram dan dikongsi beribu-ribu kali di rangkaian Truth Social Trump menjelang petang Rabu, mendorong beberapa pengulas mempersoalkan sama ada akaun Presiden AS itu telah digodam.

Klip 33 saat itu kekal di akaun Trump tanpa penafian atau penarikan balik beberapa jam selepas siaran awal pada malam Selasa lalu.

BAYANGAN RIVIERA ASIA BARAT

Video ‘Gaza 2025 What’s Next?’ menujukan orang ramai di jalan bertaburan runtuhan keluar dari terowong menuju ke pantai dengan pokok palma dan kapal layar.

Dalam klip tersebut, runut bunyi dimainkan dengan lirik seperti ‘Donald datang untuk membebaskan anda, membawa cahaya untuk dilihat semua’, dan ‘Berpesta dan menari, perjanjian telah selesai’ serta ‘Trump Gaza nombor satu’.

Penampilan Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dijana oleh AI menghirup koktel dalam pakaian renang di tepi kolam, manakala gambar lain menunjukkan rupa Elon Musk menari di bawah pancuran wang tunai di pantai jelas menyinggung perasaan ramai.

Patung emas gergasi menyerupai Trump turut dipaparkan.

Trump sebelum ini mengutarakan idea pengambilalihan AS ke atas Gaza di mana penduduk Palestin akan dipindahkan, cadangan yang mendapat kecaman global.

Beliau kemudian muncul untuk meredakan kemarahan ramai dengan mengatakan hanya mengesyorkan idea itu.

Presiden AS itu turut mengakui bahawa pemimpin Jordan dan Mesir telah menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin di luar kehendak mereka.

Pengguna media sosial bertindak balas dengan sokongan dan kritikan, tetapi ramai yang mempersoalkan sama ada Trump sendiri telah menyiarkan montaj provokasi itu.

AFP tidak menemui sebarang bukti bahawa video itu telah dikongsi dalam talian sebelum ia disiarkan ke akaun Truth Social dan Instagram Trump.

PROVOKASI MELAMPAU

Perang selama lebih 15 bulan yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, telah menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah dengan kebanyakan penduduknya terpaksa berpindah dan menjadi pelarian.

Pegawai Kanan Hamas, Bassem Naim mengakui terkejut dengan video yang dipaparkan media sosial Trump, menyifatkannya sebagai provokasi melampau dan tidak sensitif.

“Malangnya, Trump sekali lagi mencadangkan idea dan penyelesaian yang tidak mengambil kira budaya dan kepentingan penduduk pribumi,” katanya.

Di Gaza, penduduk Palestin yang menonton video itu menunjukkan reaksi seakan tidak percaya dengan tindakan itu.

“Video Trump ini penuh dengan kesilapan dan menunjukkan kekurangan kesedaran budaya. Gaza tidak akan menjadi tempat pelancongan seperti Itali atau Sepanyol,” kata seorang penduduk Khan Younis berusia 60 tahun di selatan Gaza, Nasser Abu Hadaid, 

Peguam berusia 23 tahun di Gaza City, Manal Abu Seif turut senada dan berpendapat Trump adalah seorang Presiden yang ‘pelik’.

“Apa yang saya tahu tentang Trump ialah beliau seorang presiden yang pelik tetapi berani melakukan apa yang dimahukannya. Apa yang penting baginya ialah wang dan pelaburan, tiada perikemanusiaan.

“Gaza memerlukan kebebasan, membuka sempadan dan pekerjaan untuk golongan muda, bukan taman permainan untuk pelancongan dan pelaburan,” tambahnya.

Anggota Dewan Perwakilan Demokrat turut membidas tindakan Trump berhubung visinya untuk menjadikan Semenanjung Gaza sebagai ‘taman permainan mewah’ yang disebut sebagai Riviera Asia Barat itu.

Penggubal undang-undang berkata, mempromosikan video palsu yang menggambarkan Gaza selepas perang sebagai destinasi peranginan mewah, bukan sahaja merendahkan jawatan presiden tetapi juga merumitkan sebarang rundingan damai antara Israel dan Palestin.

Ahli Tertinggi Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar  Dewan Perwakilan, Greg Meeks tidak percaya kenyataan sedemikian boleh yang dimuat naik oleh Presiden AS di akaun media sosial rasmi beliau.

“Saya tidak dapat mempercayai bahawa seorang presiden AS boleh meletakkan sesuatu seperti itu di akaun media sosial rasmi mereka. Bolehkah kita mempercayainya dengan serius?

“Apa yang dipaparkan amat tidak masuk akal dan menghina, bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang memahami sejarah serta kerumitan dalam mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat,” jelasnya.

Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu ( PBB) berkata, kos pembinaan semula Gaza bakal menelan belanja lebih daripada AS$53 billion (RM235 billion).

Gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu telah membenarkan peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun Hamas menuduh Israel menghalang kemasukan beberapa bekalan penting.-AFP

tidak mengambil kira budaya dan kepentingan penduduk Palestin.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN