Anak-anak Gaza kembali ke sekolah 

Anak-anak Gaza kembali ke sekolah 

KANAK-kanak Palestin memulakan sesi pembelajaran pada hari pertama persekolahan di sebuah sekolah di Gaza City, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Sesi persekolahan di Gaza kembali bermula semalam selepas tertangguh hampir dua tahun akibat serangan Israel selama 16 bulan ke atas wilayah itu. 

Kementerian Pendidikan Gaza dalam satu kenyataan berkata, pelajar akan menghadiri sesi pembelajaran di sekolah yang masih berfungsi, telah dibaik pulih dan lengkap atau melalui sekolah alternatif dan pusat pendidikan yang ditubuhkan di banyak kawasan.

Kementerian itu berkata, pihaknya berusaha untuk menyediakan kursus dalam talian bagi pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolah bagi memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan.

“Tahun baharu persekolahan dimulakan di Gaza di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan sumber serta keupayaan yang teruk,” kata kementerian itu.

Kementerian itu turut merayu kepada organisasi hak asasi manusia untuk mendesak Israel membenarkan akses kepada bahan-bahan yang diperlukan bagi meneruskan proses pendidikan di Gaza.

Menurut angka dikeluarkan Palestin, 85 peratus sekolah di Gaza musnah dan tidak dapat berfungsi akibat pengeboman rejim Israel.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 12,800 pelajar, 800 guru dan kakitangan pentadbiran terbunuh, manakala 1,166 institusi pendidikan musnah dalam perang Israel sejak Oktober 2023, dengan kerosakan di sektor pendidikan dianggarkan melebihi AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan semntara perang genosid Israel yang telah membunuh lebih 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap kempen ketenteraannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×