QUEENSLAND: Seorang penangkap ular di Australia tular baru-baru ini selepas berkongsi video aksinya menangkap reptilia berbisa itu yang tersangkut di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Queensland
Video disiarkan Hudson Snake Catching di laman Facebook menunjukkan penangkap ular itu tiba di rumah sebuah keluarga di Maudsland, pinggir bandar Gold Coast di Queensland di mana ular kedua paling berbisa di dunia ditemukan dalam mesin basuh.
Video itu menunjukkan ular kecil berwarna coklat muda itu melingkar di dalam tab mesin basuh keluarga itu.
Ular itu berjaya ditangkap dan dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan pada penghuni rumah mahu pun reptilia itu.
Tidak diketahui bagaimana ular itu masuk ke dalam mesin basuh tersebut.
Muzium Australia berkata, racun spesies itu mengandungi neurotoksin presinaptik yang kuat dan berpotensi mengakibatkan lumpuh atau pendarahan tidak terkawal jika menggigit mangsanya.-AGENSI











