MALAYSIA sememangnya dilihat bercita-cita menjadi pemain utama dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) di ASEAN. Sebab itu, pelbagai inisiatif dan polisi dirangka bagi memastikan yang dihasratkan ini menjadi realiti.
Berdasarkan laporan GlobalData, kapasiti tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dilihat akan berkembang kepada 36.4 peratus menjelang 2035. Iaitu berkembang daripada 6.1 gigawatt (GW) pada 2023 kepada 25.3 GW pada 2035.
Berdasarkan trend pertumbuhan terkini, negara dijangka mencapai 18.2 peratus kapasiti TBB pada tahun ini dan dan 36.4 peratus menjelang 2035.
Selain itu, permintaan terhadap TBB di peringkat serantau turut mendorong negara kita untuk memperkenalkan pelbagai projek baharu bagi menghasil tenaga hijau terutama yang berasaskan solar.
Sebab itu, pembangunan ladang solar berskala besar (LSS) di Malaysia sentiasa berterusan di mana proses bidaan LSS 5 dan LSS 5 Plus sudah berakhir dan kerajaan dijangka membuat bidaan untuk LSS 6 pula pada pertengahan tahun ini.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan program CREAM yang akan membenarkan pemilik rumah memajak atau menyewa bumbung mereka kepada pihak ketiga bagi dipasang dengan panel solar photovoltaic (PV). Sistem ini akan menghasilkan dan membekalkan tenaga hijau kepada pengguna tempatan.
CREAM dikatakan akan menjadi komplimen kepada Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) yang menetapkan kerangka kerja dan keperluan pengawalseliaan yang menawarkan pilihan bekalan elektrik hijau yang lebih luas untuk membantu Pemaju Tenaga Diperbaharui (RED) dan pengguna tenaga hijau yang layak memenuhi matlamat ESG mereka melalui Akses Pihak Ketiga (TPA).
Ketika CRESS lebih kepada korporat, program CREAM dilihat lebih menarik minat rakyat negara ini. Ini bermakna setiap rakyat boleh menyumbang kepada penjanaan TBB sama ada bagi kegunanaan domestik mahupun untuk eksport.
Berdasarkan kepada idea atas kertas ini, rakyat biasa turut boleh tumpang cari makan dengan menyewakan bumbung rumah mereka untuk menjana tenaga dari solar. Apa pun apakah kadar sewa atau adakah pulangannya menarik, belum boleh dipastikan.
Tetapi apa yang pasti caj 45 sen setiap unit yang dicadang untuk dikenakan oleh pembekal utiliti utama bagi menyalurkan tenaga ini ke grid mereka dikatakan terlalu mahal.
Menurut para pemain industri, kos untuk menghasilkan seunit tenaga dari solar adalah sekitar 25 sen sahaja. Tetapi jika kos penghantaran yang dikenakan pemilik grid adalah 45 sen. Ia ibarat lembu lebih mahal daripada tali. Yang mana ini tidak munasabah yang akan menyebabkan TBB yang dihasilkan melalui program CREAM ini tidak kompetitif dan tidak mampu bersaing.
Sedangkan kata mereka, willing charges yang dikenakan kepada seunit tenaga elektrik yang disalurkan dari Laos hanya 6 sen AS, iaitu tidak sampai 30 sen seunit. Tetapi untuk pengeluaran tempatan pula caj sampai 45 sen.
Caj double standard ini dibimbangi akan membantutkan usaha kerajaan kerana jika tidak menguntungkan tidak ada siapa yang mahu terlibat dalam program CREAM ini.
Pada masa sama, permain industri juga meminta pihak berkuasa menyenaraikan rasional di sebalik caj 45 sen seunit yang mahu dikenakan itu. Mereka minta perincian kenapa perlu bayar 45 sen. Ini bagi memastikan tidak ada caj tersembunyi atau ada pihak ambil untung atas angin.
Ini kerana untuk tenaga yang dihasilkan dari LSS 5, caj yang dikenakan ini hanya 15 sen seunit.
Jika perkara titik-bengik ini tidak diberikan perhatian dan membiarkan ada pihak mengambil kesempatan atau untung atas angin sukar untuk industri TBB kita bergerak ke hadapan.
Oleh itu, pihak kerajaan dan agensi yang diberi tanggungjawab untuk menjayakan misi TBB negara ini perlu peka kepada tuntutan dan rungutan industri termasuk juga pengguna akhir iaitu rakyat.
Elok dengar bunyi pahat ketika rumah belum siap supaya mana yang tidak kena boleh dibetulkan. Para pembuat polisi ini jangan jadi bukit yang bebal hingga tidak mahu mendengar apa sahaja rungutan dan cadangan daripada bawah.
Sepatutnya setiap polisi yang diperkenalkan mesti membantu memudahkan perkembangan dan kemajuan industri ini. Mesti menyenangkan dan memenangkan semua pihak yang terlibat. Jika di peringkat awal sudah ada yang merasakan ia tidak adil, maka tidak perlulah program ini diteruskan.
Kalau rasa mahu mengekalkan prinsip monopoli atas sebab ada alasan tertentu elok diperjelaskan. Tidak elok mempermainkan para pemain industri yang mengeluarkan modal besar semata-mata untuk melindungi kepentingan kumpulan tertentu.
Kita mahu industri ini berkembang dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat. Sebab itu, kita memerlukan dasar yang jelas dan tidak berubah-ubah. Barulah ia boleh berkembang dengan stabil dan boleh dibanggakan. Jangan hanya cantik atas kertas tetapi apabila dilaksanakan sekadar menjadi cemuhan masyarakat.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










