MUKADIMAH
DUA TAHUN hidup di negara orang sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dengan tiga pencapaian terbesar terutama pelaburan dan perdagangan, bagaimanapun, kepulangan DATUK SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ ketika kontraknya tamat, berakhir dengan kecaman selepas dirakam memegang plakad didakwa pro-Donald Trump bertulis “Make America Great Again” ketika hadir ke sambutan kemenangan Presiden AS itu, bulan lalu.
Bekas ahli Parlimen Padang Rengas itu menjawab beberapa soalan mengenai isu ini oleh wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN, AMIRAH SYASYA bersama jurugambar, FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL di rumahnya, di ibu negara, baru-baru ini.
Bekas menteri berpengalaman dalam Kabinet yang berbeza itu turut mengulas tentang UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggapnya sahabat sejati.
MENGANGGUR
MINGGUAN MALAYSIA: Kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) sudah tamat. Apa perancangan selepas ini?
MOHAMED NAZRI: Alhamdulillah, saya baik. Perancangan selepas ini, tidak lain dan tidak bukan menganggurlah (berseloroh).
Terdapat laporan kerajaan memanggil semula Datuk Seri pulang ke Malaysia selepas dirakam memegang plakad pro-Donald Trump dalam perhimpunan kemenangan presiden AS. Ini satu kebetulan?
Kontrak saya dua tahun sahaja, kemudian visa saya tamat 21 Februari lalu. Jadi, mana boleh duduk lama.
JAGA PERASAAN RAKYAT AMERIKA SYARIKAT
Memang tiada isu Datuk diarah pulang ke Malaysia selepas memegang plakad itu?
Plakad ini tiada apa pun. Saya bertanggungjawab menjaga hubungan baik antara Malaysia dengan AS. Saya tidak boleh melakukan tindakan yang berisiko menyebabkan rakyat AS marah pada saya. Tentang rakyat Malaysia yang tidak cerdik marah dengan saya ini mereka punya pasal sebab saya tidak peduli pun perasaan mereka. Saya kena jaga perasaan rakyat AS.
Persoalannya, di manakah silapnya saya memegang plakad MAGA (Make America Great Again) ini? Adakah ini boleh menyebabkan rakyat AS marah? Lainlah kalau saya ‘pijak’ atau kutuk tentulah mereka marah bukan? Jadi, don’t bother.
BUKAN PRO-DONALD TRUMP
Tindakan pegang plakad MAGA tidak menggambarkan Datuk Seri pro kepada Presiden AS, Donald Trump?
Kehadiran saya semasa pegang plakad bukan semasa kempen pilihan raya. Analoginya sama macam Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya dan dilantik menjadi Perdana Menteri, kemudian ada duta negara luar pegang plakad Make Malaysia Great Again, salahkah?
Rakyat Malaysia ini tidak faham. Mereka fikir hak kebebasan bersuara dan suka hati bercakap, sedangkan mereka tidak faham dan berpura-pura faham. Tetapi, saya tidak kisah kerana kebodohan ini tidak menjejaskan saya pun.
MALAYSIA BERSAMA PALESTIN
Malaysia berpendirian tegas sokong rakyat Gaza, Palestin. Adakah pendirian negara menjejaskan hubungan dengan AS?
Sesiapa pun menjadi Presiden AS, semuanya pro kepada Israel atau Yahudi. Ini hak mereka, jadi, takkan kita (Malaysia) takut dengan mereka dan langsung bersembunyi? Macam sesetengah negara, dia sokong tetapi tidak tunjuk sangat sokongan ini.
Namun, Malaysia tidak boleh lihat Gaza dibom. Pendirian Malaysia tidak bergantung sama ada mahu senangkan hati AS. Malaysia negara merdeka dan ada prinsip, jadi, jika perdana menteri buat kenyataan jelas mengutuk Israel, takkanlah duta cuba menjelaskan kepada AS sebenarnya Malaysia bukan macam ini. Pendirian tetap pendirian.
SEMUA PRESIDEN DUA KALI LIMA
Apa pandangan Datuk Seri tentang dasar-dasar Donald Trump?
Saya tidak mahu komen. Semua Presiden AS sama sahaja, tetap sokong Yahudi. Mereka dikuasai pelobi Yahudi.
Datuk Seri ada fikir impak jika pegang plakad itu walaupun selepas kempen pilihan raya AS?
Saya tidak peduli impaknya kepada rakyat Malaysia, tetapi saya peduli kesan positif rakyat AS. Tiada seorang rakyat AS komen, yang sibuk hanya di Malaysia sedangkan mereka tidak tahu apa yang berlaku di luar negara.
PENCAPAIAN
Apa hasilnya sepanjang bergelar Duta Besar ke AS?
Pelaburan dan Perdagangan
Sasaran pertama saya tercapai dalam meningkatkan pelaburan dan perdagangan AS dan Malaysia apabila melihat perbandingan pada 2023 dan 2022. Ada lonjakan ketara yang mana keputusan diketahui pada 2024. Untuk prestasi 2024 pula hanya akan diketahui pada bulan depan. Suku pertama 2024 ada kenaikan 49 peratus berbanding prestasi pada 2022. Pada tahun tersebut tidak banyak peningkatan disebabkan pandemik Covid-19, tetapi, apabila saya pergi pada 2023, alhamdulillah, saya berjaya.
Pemerdagangan Manusia
Malaysia tercorot pada tahap Tier 3 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) bersama Korea Utara, Libya dan Cuba. Nampak ‘tidak cantik’ lah bukan? Kita sendiri pun tahu, takkanlah Malaysia lakukan kerja itu (pemerdagangan manusia).
Saya mahu keluarkan Malaysia daripada kedudukan ini dan pertengahan 2023 dan bernasib baik kerana Jabatan Negara AS naikkan pada Tier 2 sebagai dalam pantauan dan confirm. Tetapi, pada tahun lalu disahkan Tier 2 termasuk AS sendiri dalam tahap ini. Dalam waktu itu banyak syarikat Malaysia didakwa terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan hingga kini kita masih di tahap sama.
Peribadi
Saya puas hati kerana usaha diplomatik bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lalu.
Kalaulah diberi masa lanjutan sebagai duta, apa misi seterusnya?
Tiada. Saya fikir pilihan raya akan datang sahajalah. Memang tiada lanjutan kerana kontrak dua tahun. Garis masanya memang cantik sebab pilihan raya umum (PRU) paling awal tahun depan, jadi, saya ada masa bantu perdana menteri.
Pemimpin DAP, Dr. Ong Kian Ming dakwa Datuk Seri gagal mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Trump. Respons?
Sebelum 5 November lalu, saya bersama duta ASEAN lain berhubung dengan kumpulan Republikan yang berkempen untuk Trump. Jadi, banyak maklumat diberi kepada kami satu daripadanya cakap, Trump suka dipuji, orang ambil berat tentang kerjaya politiknya. Mereka pesan kepada kami, apabila 5 November menyaksikan Trump hampir menang, cepat-cepat suruh pejabat Presiden atau pejabat menteri cuba telefon kumpulan kempen Trump minta supaya bercakap dengan presiden.
Sudah tentulah presiden sibuk, tetapi, mereka cakap jangan bimbang, yang penting dalam rekod Perdana Menteri Malaysia telah cuba hubungi Presiden untuk ucap tahniah. Saya pun sampaikan mesej ini kepada setiausaha politik perdana menteri dan dimaklumkan oleh pejabat perdana menteri cuba telefon, namun tidak dapat.
Selepas itu saya cakap tidak mengapa. Nasihat daripada kumpulan Republikan maklumkan yang penting sudah direkod dan dalam pengetahuan Trump. Jadi, tiada masalah. Selepas itu, sebelum perasmian dan selepas menang, beliau mula terima panggilan telefon daripada mana-mana pemimpin dan saya pula tidak menitikberatkan soal ini.
Mengapa?
Saya tahu Malaysia kuat sokong Gaza, Palestin. Jadi, sekeliling Trump semuanya pro Yahudi. Apabila Malaysia sudah buat pendirian begitu keras, anda fikir yang Trump mahu bercakap dengan Malaysia? Kalau beliau cakap melalui telefon, pro-Yahudi pula tahu dan akan ‘serang’ Trump: “Kenapa kau terima panggilan dari Malaysia yang kuat betul lawan Israel? Saya pula sudah tahu dan tidak perlu (panggilan telefon). Namun, orang macam Kian Ming ini tidak faham.
Panggilan telefon dari Indonesia, Filipina, Singapura dapat, tetapi pendirian mereka terhadap Gaza, Palestin tidak sekuat Malaysia. Kalau sudah satu dunia tahu pendirian kita, gunalah otak berfikir. Anda ingat Trump mahu layan Malaysiakah? Sudah tentu tidak.
TAK LAYAN, JANGAN KITA TERHEGEH-HEGEH
Kalau begitu, hubungan Malaysia dengan AS bagaimana?
Hubungan Malaysia dengan AS berada di tahap Tier 2 dalam Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang bermaksud komprehensif dalam semua bidang, tetapi tidak strategik. Jadi, kalau
Malaysia tidak dapat panggilan telefon atau dilayan dengan baik, faham-faham sendirilah kerana hubungan kita cuma satu perkongsian komprehensif, bukannya strategik.
Ini kerana dasar luar Malaysia bukan menjadi sahabat karib kepada mana-mana negara, tetapi menjadi kawan baik kepada semua. Malaysia punya dasar tidak sejajar, neutral iaitu tidak memihak kepada mana-mana negara sama ada AS, Rusia atau China.
Paling penting sekarang, lebih baik kita fikir negara yang layan Malaysia dengan baik seperti China, Rusia, Iran, Turkiye, India yang ‘membentang karpet merah’. Kita kena jaga negara yang layan kita baik. Sebaliknya, negara yang tidak layan kita dengan baik pula yang kita terhegeh-hegeh mahu berhubung.
Datuk Seri ada berhubung dengan Kian Ming?
Tiada, beliau ‘budak’, saya mahu layan beliau buat apa? Saya senior, sudah jadi menteri belasan tahun. Jawatannya paling tinggi pun timbalan menteri sahaja, kemudian bertanding parlimen dua kali, selepas itu digugurkan. Walaupun beliau cerdik, tetapi, DAP sendiri yang gugurkan beliau dan beri kepada orang lain bertanding di Parlimen Bangi.
Maknanya, beliau tidak buat kerja sewaktu jadi wakil rakyat.Sebab itu, kalau beliau bagus, DAP tidak akan gugurkan beliau. Beliau secara mentalnya lemah dan rasa diri cerdik.
CALON DUTA
Siapa calon layak menjadi Duta Besar ke AS?
Semua boleh. Paling penting dia dapat menyesuaikan diri dan tahu apa perlu dilakukan, kerana suasana tidak akan sama yang bergantung kepada tindakan peribadi duta berkenaan. Kian Ming pun boleh, tetapi, beliau sendiri sudah cakap tidak layak.
BANTU PERDANA MENTERI
Datuk Seri pulang ke Malaysia dan membantu perdana menteri menjelang PRU16 dalam bentuk yang bagaimana?
Nanti saya bincang dengan beliaulah. Sekarang saya mahu berehat dan bantu perdana menteri secara sukarela, kerana saya dengan beliau kawan lama. Bukan kerana saya dapat tawaran. Saya tidak peduli sangkaan negatif orang lain, beliau kawan sekolah saya dahulu dan selebihnya adalah hal peribadi yang membuatkan saya mahu bantu beliau.
Tetapi, Anwar dalam Pakatan Harapan (PH) sedangkan Datuk Seri pula dari UMNO?
Apa salahnya? Saya mahu pulang dan tidak cakap pun bantu orang lain, sebaliknya bantu perdana menteri secara individu dan bukan melalui parti politik.
Apa kata UMNO nanti?
Saya peduli apa? Saya Nazri Aziz.
LOMPAT PARTI
Mungkin ada maksud tersirat, contohnya PH ‘pancing’ Datuk Seri masuk PH pula?
Saya tidak kisah. Lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, parti politik apa beliau tidak masuk? Terlalu banyak. Padahal beliau seorang legenda.
Ada rancangan masuk PH pula?
Saya tiada rancangan. Saya cakap mahu sokong perdana menteri. Sekali pun saya sokong PH, bukankah PH sekarang kerjasama dengan Barisan Nasional (BN)?
Kalau ada tawaran masuk PH bagaimana?
Saya cakap tidak akan bertanding pilihan raya, saya bantu perdana menteri sahaja, tiada udang di sebalik batu.
Anwar memang sahabat sejati walaupun berbeza ideologi politik?
Ya.
UMNO
Adakah Datuk Seri tidak selesa di bawah UMNO?
Saya Nazri Aziz, suka hati sayalah.
Adakah UMNO cuba kekang cara Datuk Seri bersuara terutama isu yang tidak selari dengan pandangan konsensus UMNO?
Tiada, tiada langsung hubungan dan komunikasi sebab suara saya kan berbeza dengan pihak luar?
Hubungan Datuk Seri dengan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baik?
Saya tidak pernah telefon dan tidak ambil tahu pun tentang beliau.
Bukankah sikap begini menyebabkan UMNO satu hari nanti singkirkan Datuk Seri daripada parti?
Singkirkanlah saya kalau mahu singkir. Kenapa tidak buat sampai sekarang? Kalau UMNO mahu singkir, sejak dahulu sudah buat sebab suara saya berbeza. Tetapi, beritahu saya apa silap saya?
Saya sokong perdana menteri, bukankah UMNO melukut di tepi gantang sokong perdana menteri?
DAP
Adakah DAP mengancam kelangsungan orang Melayu?
Tidak, kita kena ada perpaduan Melayu kerana apabila kerusi kita besar, DAP akan dengar cakap. Orang marah pada DAP, hakikatnya, di Perak, siapa yang selamatkan UMNO? DAP lah kerana ada 19 kerusi sedangkan UMNO ada sembilan sahaja. Jadi, siapa selamatkan siapa sekarang?
Mahu cakap lagi orang Cina tidak selamatkan Melayu? Ini tidak benar. Anda ingat Datuk Seri Saarani Mohamad boleh menjadi Menteri Besar Perak kalau DAP tidak sokong beliau?
Inilah namanya Melayu tidak sedar diri, masih lagi fikir kuat, sombong, berlagak, tidak membetulkan diri sendiri. Kena terima isu perkauman tidak wujud dalam hakikat politik dan Malaysia.
Kalaulah pemimpin DAP lantang, anda kena lihat puncanya kerana UMNO pun terlebih dahulu lantang. Kalau UMNO lantang tidak mengapa, kalau DAP lantang tidak boleh pula sedangkan DAP pun mahu pertahankan diri. Mereka juga ada penyokong, jika mereka tunjuk diri lemah dengan UMNO nanti penyokong mereka tidak sokong. Kena fahamlah.
Contohnya?
Macam isu stoking KK Mart, bukan penting sangat dan disengajakan. Tetapi, apabila UMNO melalui Ketua Pemuda, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa memboikot, sedangkan Yang di-Pertuan Agong titah sudah selesai selepas mendapatkan penjelasan, mana UMNO mahu letak muka? Sebab itu, fikir dahulu sebelum bertindak. Mesti ada kebijaksanaan. Sudah minta maaf habis ceritalah. Ini mahu panjangkan lagi sampai dia popular.
Maksudnya, pemimpin muda secara am lebih cenderung cari populariti?
Ya, beliau (merujuk semula kepada Muhamad Akmal) dengar tentang kehebatan pemimpin-pemimpin lain dan beliau pun ikut cara mereka. Tetapi, orang lain ada otak, di tempat tertentu boleh bercakap macam ini tetapi kalau setakat isu stoking orang terlibat sudah minta maaf, sudahlah.
MUAFAKAT NASIONAL
Apa peranan Datuk Seri dalam pertubuhan Muafakat Nasional (MN)?
Saya pentingkan perpaduan Melayu pada masa sama bukan untuk menganiaya bangsa lain kerana saya percaya, hanya dengan parti politik Melayu yang kuat dengan kerusi majoriti yang besar boleh menetapkan negara dengan baik. Kalau sekarang, Anwar jadi perdana menteri, namun penyokongnya ramai bukan Melayu dan Islam. Jadi, bagaimana beliau mentadbir?
Beliau susah dan terumbang-ambing kerana sebagai Melayu dan Islam, namun, bangsanya sendiri tidak menyokong. MN ini, sewaktu UMNO dengan Pas semua kita menang dalam pilihan raya kerana orang Melayu suka Melayu bersatu padu dan hubungan dengan Pas juga baik.
Masalahnya hari ini, kita di peringkat bawah memang baik, cuma, yang menjadikan kita berpecah-belah kerana perangai sesetengah pemimpin yang tidak baik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Sedangkan, yang tidak baik itu dia (individu), namun dijadikan sebagai masalah parti politik. – UTUSAN
Datuk tidak lagi beramal sebagai peguam?
Saya sudah ‘berkarat’. – MINGGUAN MALAYSIA










