WASHINGTON: Syarikat pemula xAI, milik Elon Musk, melancarkan chatbot terbaharu, Grok 3, pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu mendakwa, teknologi kecerdasan buatan (AI) itu sebagai yang ‘paling pintar di dunia’ dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Grok 3 dilatih menggunakan data sintetik dan mampu menyemak kesilapan yang dilakukan bagi mencapai kesimpulan lebih konsisten.
“Saya dan pasukan akan terus menambah baik produk ini sepanjang hujung minggu, jadi saya akan berada di luar talian sehingga itu,” kata Musk dalam hantaran di X ketika mengumumkan pelancaran itu, Sabtu lalu.
Sebelum ini, Musk memaklumkan Grok 3 berada di peringkat akhir pembangunan dan bakal dilancarkan kepada umum dalam beberapa minggu sahaja lagi.
Syarikat xAI kini berusaha mendapatkan kelebihan dalam pasaran AI yang dikuasai pesaing seperti ChatGPT keluaran OpenAI.
Bulan lalu, syarikat pemula dari China, DeepSeek, mengejutkan industri AI global dengan pelancaran chatbot berkualiti tinggi pada kos rendah.
Ia sekali gus mencabar dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam bidang teknologi itu, malah dengan pantas mengatasi ChatGPT dari segi jumlah muat turun di gedung aplikasi Apple.
Meskipun sering memberi amaran mengenai risiko AI terhadap peradaban manusia, Musk tetap giat bersaing bagi mendapatkan pelaburan dalam sektor berkenaan.
Pada Disember lalu, xAI mengumumkan berjaya mengumpul dana AS$6 bilion (RM26 bilion) dalam pusingan pelaburan terbaharu melibatkan syarikat modal teroka dari AS, pengeluar cip Nvidia dan AMD serta dana pelaburan dari Arab Saudi serta Qatar.
Dana awal sebanyak AS$6 bilion (RM26 bilion) turut diperoleh pada Mei tahun lalu, menjadikan xAI antara syarikat pemula paling bernilai di dunia, meskipun masih jauh ketinggalan berbanding OpenAI. -AGENSI










