China kecam kapal perang Kanada lalu Selat Taiwan

China kecam kapal perang Kanada lalu Selat Taiwan

FOTO edaran pada 20 Oktober 2024 menunjukkan kapal pemusnah peluru berpandu USS Higgins (depan), dan kapal frigat Halifax Tentera Laut Diraja Kanada HMCS Vancouver, sedang belayar di Selat Taiwan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Tentera China mengecam pelayaran sebuah kapal perang Kanada di Selat Taiwan kelmarin, dan menyifatkan ia ‘menggugat keamanan’ di perairan itu.

Kapal itu melakukan misi selang beberapa hari selepas kapal tentera laut Amerika melaksanakan misi yang sama.

Jurucakap Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Li Xi berkata, tindakan Kanada sengaja mencetuskan masalah dan menjejaskan keamanan serta kestabilan di seluruh Selat Taiwan.

Beliau berkata, pihaknya menghantar tentera laut dan udara untuk memantau laluan kapal itu, selain memberi amaran menentang semua ancaman serta provokasi.

Kementerian Pertahanan Taiwan pada Ahad memaklumkan, kapal itu belayar ke arah utara dan tenteranya turut memantau pergerakan tersebut.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Taiwan mengalu-alukan pelayaran kapal itu.

Kedua-dua pemerintah China dan Taiwan mengenal pasti kapal tersebut sebagai ‘The Ottawa’.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan mengesan 41 pesawat tentera dan sembilan kapal perang China berdekatan pulau itu dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 6 pagi semalam.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kerap melalui selat sepanjang 180 kilometer (km) untuk mengukuhkan statusnya sebagai laluan perairan antarabangsa, tindakan yang sering mencetuskan kemarahan China.

China, yang menganggap Taiwan seperti wilayahnya sendiri, juga menyatakan laluan perairan strategik itu adalah miliknya.

Pada Oktober lalu, sebuah kapal perang Amerika dan Kanada belayar bersama-sama di selatan itu, kurang seminggu selepas China melaksanakan satu lagi pusingan latihan tentera di sekitar pulau itu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×