KUPANG: Gunung berapi, Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur meletus pagi tadi dengan ‘memuntahkan’ abu tebal setinggi 900 meter ke puncak.
Ketua Pos Pengamatan Gunung Api (PPGA), Herman Josef dalam laporan rasmi memaklumkan, letusan tersebut berlaku pada pukul 5.58 pagi waktu tempatan.
“Berlaku letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki pada 17 Februari 2025 (Isnin), jam 5.58 pagi waktu tempatan dengan ketinggian kolum abu sekitar 900 meter dari puncak atau 2,484 meter dari aras laut,” katanya.
Menurut Herman, kolum abu yang dikeluarkan berwarna kelabu tebal dan condong ke arah timur laut.
Letusan tersebut turut direkodkan dengan amplitud maksimum 14.5 milimeter serta tempoh letusan selama satu minit 42 saat.
Setakat ini, Gunung Lewotobi Laki-Laki masih berada pada status ‘bahaya’ yang merupakan tahap amaran tertinggi.
Sehubungan itu, pihak berkuasa melarang sebarang aktiviti dalam radius enam kilometer dari pusat letusan serta di sektor barat daya, utara, dan timur laut sejauh tujuh kilometer.
Herman turut mengingatkan penduduk sekitar supaya berwaspada terhadap potensi banjir lahar sekiranya hujan lebat melanda kawasan berhampiran gunung tersebut.
“Masyarakat yang berada dalam kawasan terjejas akibat hujan abu disarankan memakai topeng atau pelitup muka bagi mengelakkan bahaya abu vulkanik terhadap sistem pernafasan,” katanya dalam laporan dari PPGA yang terletak di Desa Pulolera, Kecamatan Wu.
Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di Desa Nurabelen, Kecamatan Ilebura, sebelum ini dinaikkan status dari berjaga-jaga kepada bahaya pada Khamis lalu, berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi berdasarkan pemantauan visual dan instrumental. -AGENSI










