PETALING JAYA: Kuih keria Anggun keluaran syarikat Aariz 3 Venture menerima peningkatan ketara sehingga mencecah jualan 50,000 biji sebulan selepas memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Negeri Sembilan (JHeains) pada Jun 2024.
Pemilik syarikat, Nurul Idayu Mohmad Roslan, 39 berkata, dia memohon pensijilan halal pada Mac 2024 untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk kuih keria mereka.
Jelasnya, perniagaan yang dijalankan di tapak penjaja Giant Avenue Nilai, Negeri Sembilan itu bagi memastikan kualiti bahan yang diguna dijamin halal dan kebersihan sentiasa terjaga.
“Selepas memperoleh sijil halal, sambutan terhadap keria Anggun semakin meningkat.
“Pelanggan lebih yakin dan kami juga menerima banyak peluang baharu, termasuk menambah bilangan ejen dan menerima lebih banyak tempahan katering.
“Dari segi jualan, kami melihat peningkatan ketara, contohnya, daripada jualan sebelum ini 40,000 biji kepada 50,000 biji sebulan. Ini juga membuka lebih banyak peluang untuk pasaran yang lebih luas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Nurul Idayu, Keria Anggun yang dijual dengan harga RM1 sebiji dihasilkan menggunakan resipi tradisional dengan bahan berkualiti tinggi, termasuk gula melaka asli.
“Setiap bulan, kami menghasilkan lebih kurang 40,000 biji keria, bergantung kepada permintaan.
“Produk ini sesuai dinikmati sebagai pencuci mulut atau snek harian dan sangat digemari oleh semua lapisan umur,” katanya.
Keria Anggun dihasilkan secara home-based dengan dibantu oleh tiga kakitangan.
“Kami mempunyai ejen di kawasan Sepang dan Putrajaya, juga menerima tempahan tetap daripada katering, majlis keramaian dan beberapa pejabat kerajaan di Putrajaya,” katanya.
Tambah Nurul Idayu, produk keria Anggun telah terjual ke pelbagai lokasi, terutamanya di sekitar kawasan Nilai, Negeri Sembilan, Sepang, Selangor dan Putrajaya serta mendapat tempahan dari sebuah sekolah di Bukit Beruntung.
“Sejak mendapatkan status halal, kami telah menjual lebih daripada 50,000 biji sebulan dan jumlah itu terus bertambah,” katanya.
Nurul Idayu turut menggalakkan peniaga lain untuk mendapatkan sijil halal kerana ia bukan sahaja meningkatkan kepercayaan pelanggan tetapi juga membuka peluang lebih luas untuk memasarkan produk, termasuk ke peringkat antarabangsa.
“Jangan takut untuk mencuba, kerana usaha ini pasti berbaloi untuk perniagaan anda,” katanya.-UTUSAN










