Zon kebakaran Los Angeles dilanda banjir lumpur

Zon kebakaran Los Angeles dilanda banjir lumpur

SEORANG penduduk membersihkan halaman rumahnya yang dilanda banjir lumpur di Sierra Madre, California.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Runtuhan lumpur menyekat sebahagian besar jalan raya di sekitar Los Angeles selepas hujan lebat dan tanah runtuh melanda kawasan kejiranan yang musnah dalam kebakaran hutan bulan lalu.

Sebahagian besar Los Angeles menerima hujan lebat melebihi tujuh sentimeter (cm) dalam sehari, mencetuskan banjir lumpur dan menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk di sekitar kawasan lereng bukit di Palisades serta Eaton.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) di California turut mengeluarkan amaran banjir di Los Angeles County, termasuk Malibu, Lembah San Fernando dan kawasan sekitar pegunungan San Gabriel.

Video tular menunjukkan, arus air deras yang menenggelamkan Lebuhraya Pantai Pasifik turut menyebabkan kenderaan milik Jabatan Bomba Los Angeles dihanyutkan sehingga ke tengah laut berhampiran.

Pegawai bomba yang memandu kenderaan tersebut dilaporkan sempat keluar dan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ringan.

Jalan-jalan utama di sekitar kawasan di Hollywood Hills yang menempatkan kediaman ramai bintang filem terkenal kini diselaputi tanah runtuh dan lumpur tebal sekitar 20 sentimeter.

Di Altadena, beberapa kenderaan dilaporkan terkandas akibat serpihan yang dihanyutkan ke jalan raya.

Kerosakan berlaku walaupun terdapat persiapan rapi oleh pihak berkuasa tempatan yang meletakkan beg pasir dan penghadang konkrit di sekitar lokasi yang dianggap berisiko akibat ribut kuat musim sejuk di California.

Walaupun kawasan itu amat memerlukan hujan, kawasan tanah yang terbakar tidak dapat menyerap air dengan cepat, menyebabkan bencana terus berlaku di lokasi berkenaan.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×