KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-63 tahun ini, rakyat Malaysia diingatkan supaya memelihara perpaduan kaum serta keamanan negara agar kemakmuran negara dapat terus dinikmati bersama.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakyat tidak seharusnya membiarkan perpaduan dalam kalangan rakyat dicemarkan oleh sentimen politik yang melampau dan menjurus kepada kebencian.
“Selalunya konflik dalam kalangan rakyat diwujudkan oleh mereka yang terlibat dengan politik dan penyokong-penyokong mereka. Ini akan mewujudkan pengasingan dalam kalangan rakyat kerana agenda tertentu oleh sesetengah pihak.
“Pemimpin-pemimpin politik harus sedar bahawa politik kebencian boleh merosakkan hubungan dan menyebabkan perpecahan antara kaum. Oleh itu, ahli-ahli politik dan penyokong mereka perlu menghentikan atau menghindarkan diri daripada politik kebencian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-63 pada 31 Ogos ini.
Dalam tempoh beberapa tahun ini, pelbagai konflik berlaku sehingga menyaksikan kerajaan bertukar sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun dan peningkatan suhu perkauman akibat pelbagai isu.
Sehubungan itu, Musa turut mengingatkan kerajaan supaya sentiasa berusaha menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan mengenakan hukuman tegas kepada mereka yang memporak-perandakan hubungan antara kaum.
“Janganlah ada pihak-pihak dalam kalangan parti politik menghasut atau menggalakkan permusuhan untuk menyokong parti atau ideologi mereka. Tindakan tegas terhadap mereka ini perlu diambil jika mereka menyalahi undang-undang.
“Kerajaan juga perlu menyerapkan semangat cintakan negara serta semangat patriotik bagi memastikan negara ini aman dan rakyat bekerjasama dengan pihak penguat kuasa bagi menjamin keselamatan,” katanya. – UTUSAN










