PORT DICKSON: Bukit Pelandok dilihat mempunyai potensi besar khususnya bagi pembangunan kawasan baharu perindustrian dan perniagaan ekoran kedudukannya yang strategik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yek Diew Ching berkata, Bukit Pelandok perlu dibangunkan daripada keadaannya sekarang supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan terutama kepada generasi muda.
Jelasnya, tiga projek utama yang dirancang untuk dilaksanakan di DUN Chuah mampu mengubah lanskap kawasan Bukit Pelandok selain sebahagian kawasan Chuah itu sendiri merupakan antara kawasan yang terlibat dalam pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV).
Menurut Diew Ching, tiga projek tersebut antaranya bandar Bukit Pelandok iaitu kerjasama dengan pihak swasta bagi pembinaan pusat perindustrian ringan, pusat perniagaan, kemudahan awam seperti balai bomba serta pembinaan kampus baharu sebuah institusi pendidikan tinggi swasta.
Dua lagi projek dalam perancangan ialah pembangunan di tapak Kawasan Penternakan Babi (PFA) Bukit Pelandok serta pembangunan tanah seluas 400 ekar yang terletak di sempadan Sepang, Selangor sebagai kawasan eksklusif dan ‘rumah kedua’ bagi pesara dari Jepun.
“PFA sudah lama terbiar dan masalah melibatkan pemilik-pemilik tanah di situ mesti diselesaikan. Memang ada perancangan mewujudkan pusat penternakan babi secara tertutup dan bertingkat, selain ditambah dengan penternakan lembu dan ayam di kawasan sama, namun ia memang memerlukan modal yang cukup besar.
“Saya tidak melihat kawasan PFA mesti dilaksanakan penternakan babi, jika pemilik tanah tidak mahu teruskan. Perlu ada satu pasukan petugas yang melibatkan pemilik tanah, kerajaan dan pihak lain-lain bagi menentukan perancangan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Diew Ching, sekiranya perancangan membangunkan pekan Bukit Pelandok serta pembangunan kawasan eksklusif berhampiran Sepang itu berjalan lancar, beliau menjangkakan nilai tanah di PFA juga akan meningkat.
“Pemilik-pemilik tanah di PFA yang kebanyakannya adalah pemilik ladang babi yang terpaksa menghentikan operasi ketika berlakunya Virus Nipah, mereka akan mendapat manfaat besar jika menjual tanah mereka itu.
“Kesemua perancangan ini bukan angan-angan dan ia mampu dilaksanakan. Pembangunan baharu mesti dilakukan di Bukit Pelandok, tidak boleh terus begini sahaja,” katanya. – UTUSAN










