WASHINGTON: Kira-kira 5,000 tentera Amerika Syarikat (AS) dikerahkan di sepanjang sempadan selatan negara itu dengan Mexico, sebagai sebahagian daripada usaha Presiden Donald Trump mengetatkan kawalan imigresen.
Ketua Komando Utara AS, Jeneral Gregory Guillot memberitahu ahli Parlimen kelmarin, bahawa beliau menjangkakan angka itu mungkin meningkat.
Beliau juga mendedahkan, tentera AS meningkatkan aktiviti mereka dalam bidang perisikan dan pengawasan merentasi sempadan (ISR), dengan menjadikan kartel dadah sebagai sasaran utama.
“Kami juga meningkatkan beberapa keupayaan tentera yang akan menumpukan perhatian kepada kartel yang mendorong pendatang haram.
“Itu terutama melalui ISR udara untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai mereka dan mencari cara untuk menangkis tindakan mereka,” kata Guillot.
Kehadiran ribuan tentera AS di sempadan dengan Mexico menepati janji kempen yang dibuat Trump untuk mengisytiharkan ‘kecemasan negara’ di sempadan selatan.
Pada 20 Januari, hari pertama penggal keduanya, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan pemimpin tentera untuk menghantar sebanyak mungkin unit atau anggota tentera ke sempadan untuk mendapatkan kawalan operasi penuh di kawasan tersebut.
Trump juga mengarahkan Setiausaha Pengangkutan AS untuk membenarkan penggunaan sistem udara tanpa pemandu dalam jarak lapan kilometer (lima batu) dari sempadan.
Sepanjang tempoh menjadi pemimpin politik, Trump sering menggunakan retorik nasionalis yang menggambarkan pendatang tanpa izin sebagai ‘penceroboh’ dan mereka yang terlibat jenayah.
Menutup sempadan bagi menghalang kemasukan tanpa izin menjadi teras kempen beliau untuk pemilihan semula, begitu juga dengan melancarkan rancangan pengusiran besar-besaran.
Trump juga memberi tekanan kepada negara jiran untuk menyekat pendatang tanpa dokumen, termasuk melalui penggunaan tarif.- AL JAZEERA










