Saringan kesihatan percuma untuk pelajar bermula Julai

Saringan kesihatan percuma untuk pelajar bermula Julai

KEMENTERIAN Kesihatan menetapkan 30 slot pemeriksaan kesihatan percuma setiap hari yang memanfaatkan 280 juta rakyat Indonesia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia akan melaksanakan Program Saringan Kesihatan Percuma (CKG) secara serentak di semua sekolah bermula sesi akademik baharu, Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Indonesia, Dante Saksono Harbuwono berkata, perkhidmatan ini tidak akan diberikan kepada pelajar pada hari lahir mereka, tetapi dilaksanakan serentak di sekolah.

“Ia akan dilaksanakan serentak, iaitu pada sesi baharu persekolahan,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Beliau berkata, sejak pelancaran rasmi program pada 10 Februari lalu, sebanyak 65,000 orang sudah menjalani saringan kesihatan.

“Kami berharap dengan penyebaran maklumat, lebih ramai orang akan turut serta,” katanya.

Ketika menemani Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno, untuk saringan di Pusat Kesihatan Komuniti Gambir, Jakarta Pusat kelmarin, beliau berkata, saringan kesihatan mental turut merangkumi program tersebut.

Dante turut menekankan penilaian Kementerian Kesihatan berhubung 34.6 peratus remaja mengalami penurunan kesihatan mental.

Saringan kesihatan percuma adalah inisiatif kedua di bawah kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto, selepas Program Makanan Bernutrisi Percuma, yang dilancarkan pada Januari tahun ini.

Program saringan percuma itu menyasarkan 281 juta rakyat Indonesia daripada semua peringkat umur, bermula bayi hingga warga emas.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak 4.7 trilion rupiah (RM1.3 bilion) untuk program berkenaan.

Pada peringkat awal, program menyasarkan kanak-kanak berusia 0–6 tahun dan individu berusia lebih 18 tahun.

Ia dijangka akan dilaksanakan di sekolah untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun, pada Julai ini.– ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×