WASHINGTON: Syarikat minuman gergasi, Coca-Cola Co. terpaksa meningkatkan penjualan produknya dalam botol plastik di Amerika Syarikat (AS), susulan keputusan Presiden Donald Trump mengenakan tarif terhadap import aluminium yang dijangka menyebabkan harga tin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, James Quincey berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan syarikat kekal kompetitif dalam menawarkan produk yang mampu milik kepada pengguna.
“Kami mempunyai pelbagai pilihan pembungkusan. Jika kos pengeluaran tin aluminium meningkat, kami akan memberi tumpuan kepada penggunaan botol plastik jenis PET,” katanya dalam satu panggilan bersama pelabur.
Terdahulu, Trump mengarahkan cukai import sebanyak 25 peratus dikenakan ke atas semua import keluli dan aluminium ke AS, yang turut memberi kesan kepada harga makanan dan minuman dalam tin di negara itu.
Langkah tersebut sekali gus memberi tamparan kepada usaha kelestarian Coca-Cola yang sebelum ini giat mengurangkan penggunaan plastik.
Pada Disember lalu, syarikat itu mengurangkan sasaran penggunaan bahan kitar semula dalam pembungkusan daripada 50 peratus pada 2030 kepada 35 hingga 40 peratus menjelang 2035.
Coca-Cola dinamakan sebagai pencemar plastik global utama selama enam tahun berturut-turut oleh kumpulan alam sekitar.
Meskipun Quincey menyatakan kos pembungkusan hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan kos syarikat, keputusan beralih kepada botol plastik dilihat bertentangan dengan usaha sebelum ini yang memfokuskan kepada penggunaan tin aluminium sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran dan kelestarian.
Pada 2018, selepas Trump mula mengenakan tarif ke atas keluli, kebanyakan pengeluar tin berjaya mendapat pengecualian daripada cukai import tersebut namun kali ini, beliau menegaskan tiada pengecualian akan diberikan sama ada untuk produk tertentu atau mana-mana negara.
Dalam satu lagi langkah yang berpotensi meningkatkan pencemaran plastik, Trump turut menandatangani perintah eksekutif bagi menamatkan usaha kerajaan AS menggantikan penggunaan penyedut minuman plastik dengan kertas.
Perintah itu sekali gus membatalkan langkah yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Joe Biden, yang sebelum ini menganggap pencemaran plastik sebagai satu ‘krisis’. – AGENSI










