Pondok usang dan terbiar jejas imej Gunung Lambak

Pondok usang dan terbiar jejas imej Gunung Lambak

KEADAAN pondok berhampiran laluan pendakian Gunung Lambak, Kluang yang terbiar menjejaskan imej lokasi tumpuan pengunjung berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Usaha untuk memperkenalkan Gunung Lambak sebagai lokasi pelancongan di daerah ini boleh menjadi sia-sia jika kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut tidak terurus, sekali gus boleh mendatangkan bahaya.

Terdapat dua pondok di laluan pendakian gunung setinggi 510 meter dari aras laut itu tidak terurus dan hampir roboh, sekali gus membantutkan kehadiran pengunjung.

Seorang pendaki, Rosnah Hashim, 40, berkata, selain keadaan pondok yang hampir roboh, kerusi di dalamnya juga sudah tidak boleh digunakan dan kotor.

Keadaan itu bukan sahaja memalukan, malah menjejaskan imej pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, terutamanya dalam kalangan orang ramai serta pengunjung.

“Apa yang saya tahu, keadaan pondok terbiar itu bukan berlaku sejak akhir-akhir, namun sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dan tiada kerja-kerja baik pulih dilakukan.

“Orang ramai juga bimbang untuk berhenti berehat di dua pondok itu kerana takut akan runtuh secara tiba-tiba selain tiada kemudahan tempat duduk disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ridzuan, 35, juga bimbang dengan kewujudan kontena-kontena yang terbiar berhampiran laluan pendakian gunung itu.

Katanya, kontena itu dipercayai pernah dijadikan sebagai chalet untuk kemudahan orang ramai bermalam dalam suasana hutan, namun tidak mendapat sambutan seterusnya terbiar tanpa sebarang pengurusan.

“Kita tidak tahu apa yang ada di dalam kontena terbiar itu, berkemungkinan ada binatang berbisa yang boleh mengancam keselamatan pengunjung di Gunung Lambak ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×