BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengumumkan pembentukan kerajaan baharu setelah lebih dua tahun berada di bawah Kabinet sementara, ketika negara berdepan krisis politik dan kejatuhan ekonomi.
Pejabat presiden mengesahkan peletakan jawatan kerajaan sementara dan pelantikan Kabinet baharu diketuai Perdana Menteri, Nawaf Salam dengan dibarisi 24 menteri, yang menjadikannya kerajaan lengkap pertama negara itu sejak 2022.
Kabinet kini diberi tanggungjawab untuk merangka dasar iaitu garis panduan umum mengenai pendekatan kerajaan akan datang sebelum mendapatkan undi percaya daripada Parlimen Lubnan bagi memperoleh kuasa penuh.
Nawaf, merupakan diplomat dan bekas presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), berjanji untuk mereformasi badan kehakiman Lubnan, melaksanakan pembaharuan ekonomi dan membawa kestabilan kepada negara itu.
Katanya, Lubnan akan melaksanakan Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan perang antara Hezbollah dan Israel pada 2006.
Beliau turut menggesa penarikan Hezbollah dan kumpulan bersenjata negara lain dari kawasan selatan Sungai Litani yang bersempadan dengan Israel.
Kerajaan baharu Lubnan menandakan peralihan daripada kepemimpinan yang rapat dengan Hezbollah, kerana Beirut berharap untuk mendapatkan dana pemulihan dan pelaburan selepas perang dahsyat terhadap Israel tahun lalu.
Ini termasuk, memulihkan negara daripada krisis ekonomi yang membelenggu negara sejak 2019.
Walaupun Hezbollah tidak menyokong Nawaf sebagai Perdana Menteri, namun pihaknya tetap berunding mengenai peruntukan kerusi untuk Muslim Syiah dalam kerajaan, selaras dengan sistem perkongsian kuasa berasaskan mazhab di Lubnan.- AL JAZEERA










