MOSCOW: Rakaman video jarang ditemui menunjukkan sebuah pesawat kargo Russia, dikenali sebagai ‘pesawat kematian’, menghantar lebih 50 keranda berisi mayat askar yang terkorban dalam peperangan sebelum digunakan semula untuk membawa tentera kontrak baharu ke medan pertempuran.
Pesawat jenis Il-76 itu dikesan mendarat di Yakutsk, Siberia, yang terkenal sebagai bandar paling sejuk di dunia, bagi melaksanakan pemulangan mayat tentera kepada keluarga masing-masing.
Menurut saksi, selepas menghantar mayat tersebut, pesawat sama digunakan untuk membawa masuk kumpulan tentera baharu yang akan menyertai konflik berdarah dicetuskan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Rakaman video itu dikatakan dirakam oleh seorang askar yang cedera tetapi terpaksa kembali ke medan perang.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan proses pemindahan keranda kayu ke atas tiga buah trak di lapangan terbang Yakutsk dijalankan secara rahsia pada waktu malam dalam suhu beku mencecah -30 darjah Celsius.
“Negara (Russia) terus menjalankan kitaran yang tidak berkesudahan ini. Ia mengambil nyawa, melemparkan manusia ke dalam ‘pengisar daging’ peperangan, dan kitaran itu berulang. Tali sawat kematian ini berjalan lancar,” dedah Yayasan FreeYakutia yang mendedahkan rakaman tersebut.
Yakutsk terletak kira-kira 3,500 batu dari zon konflik, namun askar-askar yang dihantar ke medan perang di Ukraine dilaporkan sedar bahawa mereka mungkin akan pulang dengan cara yang sama – dalam keranda.
Ini berlaku ketika desakan rundingan damai semakin meningkat, termasuk oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang ahli psikik terkenal Russia meramalkan tarikh berakhirnya perang di Ukraine dan percaya Trump adalah individu yang mampu merealisasikan perkara tersebut. —AGENSI











