ISU masalah kesihatan mental kian meruncing dalam kalangan masyarakat kita sering kali disebut-sebut oleh mana-mana pihak. Perkara ini turut membabitkan murid-murid sejak di bangku sekolah lagi.
Peningkatan yang ketara terhadap masalah ini telah berlaku dalam kalangan murid sejak kebelakangan ini seperti yang dipaparkan di media-media akhbar. Perkara ini mengundang kepada permasalahan seperti kes bunuh diri serta melibatkan hubungan sosial yang negatif dalam kalangan rakan sehingga ada yang membawa kepada masalah buli dan keganasan.
Perkara ini seharusnya menjadi isu yang perlu diteliti dan ditangani dengan serius oleh semua pihak. Peranan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mendepani isu ini sememangnya perlu diintegrasikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang diikuti oleh murid-murid di dalam kelas.
Penyampaian ilmu oleh guru tidak hanya menekankan terhadap pencapaian akademik semata-mata bahkan turut mendidik jiwa murid yang positif seiring pembentukan karamah insaniah yang menjadi agenda KPM.
Oleh itu, guru yang bertindak sebagai penggerak transformasi pendidikan di negara ini sememangnya turut menggembleng tenaga untuk mengatasi krisis kesihatan emosi dan gejala sosial dalam kalangan murid.
Pendedahan kemahiran kesedaran diri sewajarnya diperkenalkan kepada murid-murid di sekolah semasa PdP dilaksanakan. Tugas guru yang berperanan dalam mendidik masyarakat untuk memberi kesedaran penjagaan kesejahteraan emosi dan mental seharusnya diperkukuh dalam jiwa murid tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan sosioekonomi.
Guru sewajarnya melaksanakan aktiviti PdP yang berbentuk penerapan nilai penghargaan seperti menulis surat penghargaan kepada rakan, kad ucapan tahniah mahupun kad ucapan terima kasih bagi menzahirkan rasa kesyukuran, empati serta bangga dalam dirinya.
Secara tidak langsung, murid akan dihargai oleh rakannya dan sebagai tanda hadirnya seseorang untuk meraikan kejayaan dan mengingati jasa pengorbanan dirinya melalui ucapan mahupun tindakan. Jelaslah bahawa nilai kebersamaan inilah sangat penting dalam membangunkan kesedaran sosial yang sihat dalam jiwa murid.
Tuntasnya, pembelajaran sosial dan emosi sebenarnya tidak asing lagi bagi para pendidik. Bagi pelaksanaannya tidaklah terlalu sukar untuk didedahkan kepada para murid kerana guru berhak melaksanakannya mengikut kreativiti, kesesuaian masa mahupun penggunaan sumber dan bahan pembelajaran yang mudah diperoleh.
Segala pengetahuan dan kemahiran guru dalam melaksanakan pembelajaran sosial dan emosi ini haruslah diambil tahu, difahami dan diaplikasi di dalam kelas supaya murid sentiasa cakna terhadap kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Sokongan dan kerjasama daripada para guru, pentadbir, ibu bapa mahupun murid itu sendiri dalam menjayakan pembelajaran sosial dan emosi ini amatlah diperlukan bagi mendorong pembentukan modal insan yang berkualiti dan cemerlang dalam segenap aspek.
Oleh yang demikian, agenda pendidikan masa kini yang menumpukan pembinaan karakter dalam diri murid-murid seperti yang terkandung dalam Kurikulum Baharu Persekolahan 2027 dapat direalisasikan tanpa mengira sesiapa sahaja. Pastinya, kemenjadian murid dapat digapai melalui inisiatif tersebut yang dihasratkan oleh pihak KPM tidak menjadi omongan kosong. – UTUSAN
MUHAMMAD AFFAN AHAMAD
Ketua Panitia Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak










