BUTTERWORTH : Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif di hospital khususnya jururawat sebaik sahaja sesi libat urus berkaitannya selesai.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, sesi tersebut telah diadakan di Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Johor serta dijangka berakhir di Terengganu minggu depan.
“Apa yang saya sebutkan ialah, izinkan kami mengadakan semua libat urus ini terlebih dahulu dan saya sendiri sudah nampak bagaimana kecenderungan, permintaan serta tuntutan daripada program kejururawatan berkenaan apa yang mereka mahu sebenarnya.
“Saya sendiri ‘update’dengan Kabinet dan Perdana Menteri mengenai perkara ini. Ia bukan sesuatu yang sukar untuk saya atasi. Doakan bersama agar kita akan dapatkan satu keputusan yang baik untuk kebajikan jururawat kita dan sebagainya dalam waktu yang terdekat ini, insya-Allah,” katanya selepas Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini, semalam.
Beliau mengulas kebimbangan pelbagai pihak susulan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menetapkan jururawat bekerja secara syif selama 45 jam seminggu, berbanding 42 jam ketika ini.
Menjawab gesaan yang mahu kerajaan memberi keutamaan kepada penambahbaikan terma perkhidmatan dan imbuhan jururawat berbanding hanya melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan pula, Dzulkefly menganggap kedua-dua perkara adalah mustahak.
“Kita masih mengekalkan standard latihan dan kemahiran graduan jururawat meskipun syarat kemasukan dilonggarkan,” katanya yang memberi jaminan kualiti latihan kejururawatan tidak akan terjejas disebabkan isu itu.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.
“Pelaksanaan sistem itu akan melibatkan 100 buah klinik kesihatan di seluruh negara termasuk 10 klinik di Pulau Pinang dan kerajaan juga akan melaksanakan sistem rekod perubatan elektronik (EMR) di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya dengan pelaksanaannya dijadual bermula pada tahun 2026.
“Hospital-hospital lain juga akan dilengkapi dengan sistem ini secara berperingkat mengikut perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya yang memaklumkan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan selepas ini.
Dalam pada itu katanya, kira-kira 20.5 peratus penduduk dewasa di Pulau Pinang dikesan menghidap diabetes iaitu 4.9 peratus lebih tinggi daripada kadar prevalens di peringkat nasional sebanyak 15.6 peratus.
Perkara itu didedahkan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 iaitu bagi kategori penyakit tidak berjangkit.
Beliau berkata, selain diabetes, masalah berat badan berlebihan di Pulau Pinang juga lebih tinggi iaitu 56.5 peratus berbanding 54.4 peratus pada kadar nasional.
“Selain itu, setiap satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol dalam darah yang tinggi iaitu kira-kira 33.3 peratus berbanding 37.4 peratus di Pulau Pinang,” ujarnya. – UTUSAN







