AS terus bekal bom, peluru berpandu kepada Israel

AS terus bekal bom, peluru berpandu kepada Israel

PENUNJUK perasaan memegang plakad bertulis 'Israel, genosid' semasa demonstrasi menyokong rakyat Palestin dan menuntut perang Gaza ditamatkan, di Madrid pada 18 Januari lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ketika rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata di Gaza giat dijalankan, Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata lebih AS$7.4 bilion (RM32.8 bilion) kepada Israel.

Perkembangan itu mencetuskan keraguan terhadap komitmen Washington untuk merealisasikan fasa seterusnya yang memfokuskan kepada gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA), Jabatan Negara meluluskan penjualan bom, kit panduan dan fius bernilai AS$6.75 bilion (RM29.97 bilion), selain AS$660 juta (RM2.9 bilion) peluru berpandu Hellfire.

“Penjualan bom yang dicadangkan itu meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan, mengukuhkan pertahanan tanah airnya serta berfungsi sebagai penghalang ancaman serantau.

“Penjualan peluru berpandu akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan dengan memperkukuh keupayaan Tentera Udara Israel dalam mempertahankan sempadan, infrastruktur,” kata DSCA dalam satu kenyataan.

Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza pada Oktober 2023 sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada bulan yang sama.

Perang itu menghancurkan hampir keseluruhan Gaza, menyebabkan sebahagian besar penduduk terpaksa berpindah.

Bagaimanapun, gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu, membolehkan pertukaran tebusan Israel dan tahanan Palestin, selain permulaan kepada fasa kedua untuk keamanan kekal di wilayah tersebut.

Sebagai tindak balas terhadap kembimbangan mengenai korban awam, pentadbiran AS terdahulu di bawah Presiden Joe Biden menyekat penghantaran bom seberat lebih 900 kilogram (kg) kepada Israel.

Namun, penggantinya, Donald Trump dilaporkan melulus penghantaran tersebut selepas kembali memegang jawatan presiden.

Walaupun Jabatan Negara meluluskan penjualan bom dan peluru berpandu itu, transaksi tersebut masih perlu mendapat kelulusan Kongres.– THE GUARDIAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×