Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) diperlakukan secara kekerasan atau buli oleh sekumpulan lelaki di satu lokasi perniagaan.
Imam Masjid Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Ustaz Mi Hamidi Nipah, 54, berkata, perbuatan sekumpulan pembuli berkenaan meninggalkan pelbagai persoalan kenapa mereka bertindak sedemikian sedangkan orang Melayu sepatutnya mempunyai adab dan nilai kemanusian yang tinggi malahan yang lebih penting lagi mereka berpegang kepada ajaran Islam yang menolak sebarang kekerasan.
Bagaimanapun, katanya, perbuatan buli dalam kalangan orang Islam tetap berlaku bukan sahaja di tempat awam, malah sering dilaporkan dalam media berlaku dalam kalangan pelajar, di tempat kerja, pasangan suami isteri atau ahli keluarga sehingga membawa kesan trauma dan buruk kepada mangsa malahan turut memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.
“Islam melarang sebarang bentuk kezaliman dan kekerasan terhadap seseorang yang lemah mahupun kaum lain seperti mana yang berlaku ke atas rakyat Palestin yang diancam oleh zionis Israel,” katanya di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut di sini.
USTAZ MI HAMIDI NIPAH
Usia: 54 Tahun
Tempat lahir: Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut (1977 – 1985)
Sejarah Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut
Sekolah Menengah Kuala Tembeling, Jerantut (1983 – 1985)
Sekolah Menengah Jerantut (1986 – 1987)
Pusat Tahfiz Jamiah Ashrafiah, Lahore, Pakistan (1991)
Madrasah Serai Naurang, Bannu, Utara Pakistan (1991).
Madrasah Khokpho, Patani, Thailand (1992).
Tugas hakiki/kerja:
Imam Masjid Kampung Pagi
Ketua Kampung Pagi, Ulu Tembeling
Katanya, larangan melakukan kezaliman disentuh dalam al-Quran sebagaimana firman dalam surah al-Syura, ayat 40, bermaksud:
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”
Sebagai seorang Islam, katanya, kita diminta menjalinkan hubungan baik dengan insan lain dengan memberikan bantuan kepada yang susah, memberi nasihat kepada yang mencetuskan masalah dan sebagainya, bukan dengan menyakiti orang lain secara fizikal atau emosi.
Katanya, dalam kes buli yang melibatkan OKU tempoh hari, sepatutnya mereka yang berada di tempat kejadian menghulurkan bantuan kerana lelaki berkenaan berada dalam kesusahan (kemalangan).
Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat.
Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat”.
Tambah Mi Hamidi, walaupun si pembuli mungkin mempunyai sejarah pernah dibuli, dihina, dikeji dan seumpamanya, tetapi dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang sama kepada orang lain seolah-olah membalas dendam.
Katanya, sebab itulah Allah melarang keras perbuatan buli seperti firman-Nya dalam Surah al-Hujurat, ayat 11 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang dihina) lebih baik daripada mereka (yang menghina).”
Beliau berkata, Islam merupakan agama yang mulia menjadi panduan penganutnya supaya beramal soleh, mengutamakan nilai kasih sayang dan bertoleransi tanpa cepat menghukum kesalahan orang lain dengan sewenang-wenangnya.
Mi Hamidi menambah, firman Allah SWT dalam surah Maryam, ayat 96, bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh, Allah melimpahkan rahmat-Nya, menanamkan dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang”.
Katanya, kejadian lelaki OKU dibuli itu dilakukan pula ketika umat Islam berada di bulan Rejab yang sepatutnya menghayati kemulian bulan tersebut dan peristiw Israk Mikraj.
Beliau berkata, Nabi Muhamad SAW telah diperlihatkan sebahagian ganjaran pahala dan balasan dosa pada malam tersebut yang sesungguhnya ganjaran pahala di syurga dan balasan azab neraka itu adalah benar.
Katanya, Allah telah memberikan amaran bahawa perbuatan buli dan kekerasan termasuk dalam kategori kezaliman dan diminta umat Islam menjauhkannya seperti dalam firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 113 bermaksud:
“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim sehingga kamu disentuh oleh api neraka”.
Oleh itu, katanya, elakkan perbuatan membuli dan berkasar kepada orang lain kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada balasan yang amat berat di akhirat yang boleh memadamkan kebaikan yang kita lakukan sebelum itu. – UTUSAN










