LONDON: Lapan daripada sepuluh kes bunuh melibatkan remaja di England dan Wales didapati menggunakan pisau atau objek tajam, jauh lebih tinggi berbanding kadar keseluruhan populasi, menurut data terbaharu dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), kelmarin.
Menurut ONS, sebanyak 64 remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun menjadi mangsa bunuh bagi tahun berakhir Mac 2024, dengan 53 daripadanya atau 83 peratus dibunuh menggunakan pisau atau senjata tajam.
Sebagai perbandingan, kurang daripada separuh atau 46 peratus daripada keseluruhan kes bunuh di England dan Wales dalam tempoh sama melibatkan senjata tajam.
Pendedahan itu dibuat hanya beberapa hari selepas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditikam sehingga mati di sebuah sekolah di Sheffield, sekali gus menambah kebimbangan mengenai peningkatan keganasan bersenjata dalam kalangan remaja.
ONS turut melaporkan peratusan kes bunuh melibatkan senjata tajam bagi semua peringkat umur kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh sedekad, meningkat daripada 42 peratus pada tahun 2022-2023 kepada 46 peratus pada 2023-2024.
Selain itu, sebanyak 108 kes bunuh domestik direkodkan bagi tahun berakhir Mac 2024, hampir sama dengan tahun sebelumnya iaitu 107 kes.
Daripada jumlah itu, 83 mangsa adalah wanita manakala 25 lagi lelaki.
ONS menjelaskan, 66 daripada mangsa tersebut dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka, menunjukkan trend keganasan domestik yang berterusan di negara tersebut.
Laporan ONS juga mendedahkan kadar kes bunuh dalam kalangan kumpulan etnik kulit hitam adalah 39.8 mangsa bagi setiap sejuta penduduk untuk tempoh tiga tahun berakhir Mac 2024.
Angka ini adalah lebih empat kali ganda berbanding kadar dalam kalangan etnik kulit putih yang mencatatkan 8.5 mangsa bagi setiap sejuta penduduk.
Peningkatan kes bunuh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa dan masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan remaja dan usaha pencegahan jenayah bersenjata yang semakin meruncing di England dan Wales. -AGENSI











