Pesara rugi RM70,000 ditipu ‘phone scam’ secara bersemuka

Pesara rugi RM70,000 ditipu ‘phone scam’ secara bersemuka

RAMLI Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan barang rampasan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesara wanita kerugian RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menyamar pegawai polis dan datang sendiri ke rumahnya.

Kejadian berlaku pada 15 Januari lalu apabila wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai dari platform e-dagang Shopee.

Mangsa diberitahu bahawa nombor telefonnya didaftarkan dengan akaun Shopee yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis.

“Mangsa diberitahu bahawa dia mempunyai rekod jenayah serta terlibat dalam aktiviti haram.

“Kesemua akaun banknya kononnya akan dibekukan dan bagi mengelakkan perkara itu berlaku, mangsa disarankan memindahkan wang ke akaun yang diberikan sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Tambahnya, lebih mengejutkan, pada keesokan harinya (16 Januari), seorang lelaki yang memakai pelitup muka datang ke rumah mangsa dan memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Akmal’.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan kad ATM Bank Islam kononnya bagi tujuan pemindahan wang ke akaun yang kononnya lebih selamat,” katanya.

Menurut Ramli, pada 18 Januari, suspek kembali ke rumah mangsa dan memulangkan kad ATM Bank Islam sebelum meminta pula kad Maybank miliknya.

“Pada 20 Januari, mangsa sekali lagi dihubungi dan diminta untuk memindahkan kesemua wang dari akaun ASB miliknya ke akaun Maybank.

“Bagaimanapun, ketika itulah mangsa mula curiga dan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya. Mereka segera menyedarkannya bahawa dia telah ditipu,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Januari dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Orang ramai perlu tahu bahawa tiada sebarang prosedur rasmi yang membabitkan panggilan telefon dari satu agensi kerajaan ke agensi lain dalam kes seperti ini.

“Setakat ini, tiada kes di mana panggilan dari Bank Negara Malaysia dipindahkan kepada pihak polis, mahkamah atau mana-mana pihak lain. Malah, dalam kes ini, dari Shopee kepada pihak polis juga jelas merupakan satu bentuk penipuan.

“Justeru, sekiranya menerima panggilan seperti ini dan ia dipindahkan dari satu pihak ke pihak lain, maka ia adalah sindiket penipuan. Segera tamatkan panggilan bagi mengelakkan menjadi mangsa,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×