Banjir kilat di ibu negara, bomba terima empat kejadian kecemasan

Banjir kilat di ibu negara, bomba terima empat kejadian kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat kejadian kecemasan susulan banjir kilat dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara termasuk Ampang ekoran hujan lebat yang melanda petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyalamat Kuala Lumpur memaklumkan, beberapa panggilan kecemasan diterima sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi terlibat.

Katanya, kejadian pertama berlaku berhampiran Tuscany Home Furnitures, Jalan Mengkudu, Ampang membabitkan sebuah kereta yang terkandas dalam banjir sedalam kira-kira tiga kaki.

“Seorang mangsa berada di dalam kenderaan tersebut dan dilaporkan selamat.

“Operasi dikendalikan BBP Keramat dengan kekuatan enam anggota lain-lain pangkat (LLP),” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, kejadian kedua pula dilaporkan berhampiran Kondominium Desa Angkasa, Taman U-Thant, Kuala Lumpur, membabitkan sebuah kereta BMW yang terkandas dalam banjir sedalam kira-kira dua kaki.

Jelasnya, dua mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan dilaporkan selamat.

“BBP Jalan Tun Razak menggerakkan lima anggota LLP ke lokasi untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, kejadian ketiga berlaku di sebuah rumah di No. 9, Jalan Kolam Air Lama C, Ukay Perdana Height, Ampang, Selangor.

Jelasnya, kejadian itu membabitkan rumah yang dinaiki air dan penghuni memaklumkan terdapat kemungkinan berlaku renjatan elektrik pada genangan air banjir di kawasan terbabit.

“BBP Keramat turut dikerahkan ke lokasi dengan kekuatan enam anggota LLP bagi membantu pihak bomba Selangor.

“Dalam kejadian keempat, kawasan parkir kereta di Menara Safuan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, turut dinaiki air,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang mangsa.

“BBP Titiwangsa menggerakkan lima anggota LLP ke lokasi untuk menjalankan tindakan selanjutnya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×