Musim cuti persekolahan adalah waktu terbaik untuk merancang aktiviti dan destinasi menyeronokkan bagi menghabiskan masa berkualiti serta berseronok bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan.
Taman tema merupakan salah satu destinasi pilihan kerana menawarkan pelbagai tarikan menarik, aktiviti menyeronokkan dan pengalaman yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Antara destinasi menarik yang boleh dipertimbangkan adalah SuperPark Malaysia.
Pusat permainan dalaman ini menyediakan lebih 20 pengalaman sukan interaktif yang menyeronokkan dan sesuai untuk setiap lapisan umur.
STREET BASKETBALL
Sukan ini melibatkan dua pasukan yang bersaing untuk menjaringkan mata dengan memasukkan bola ke dalam jaring lawan.
Kedengaran mudah, namun kepantasan, strategi dan kerjasama pasukan menjadi kunci utama untuk meraih kemenangan di gelanggang.
Melalui permainan ini, saya berpeluang mengasah kemahiran teknikal seperti menggiring, melempar, menangkap dan melakukan jaringan dengan lebih tepat.
Selain itu, street basketball turut memberi manfaat besar kepada kesihatan, antaranya meningkatkan daya tahan kardiovaskular, kekuatan otot serta koordinasi badan secara menyeluruh.
Lebih menarik, sukan ini boleh bermain secara santai di taman atau dalam perlawanan serius.
Ia bukan sahaja menguji kemahiran di gelanggang, tetapi juga membina semangat kesukanan antara pemain.
BASEBALL
Bagi mereka yang belum biasa dengan permainan ini, baseball mungkin kelihatan membosankan pada mulanya.
Namun, pemain berpeluang merasai pengalaman sebenar dengan menguji kemahiran memukul bola di dalam batting cage yang direka khas.
Dilengkapi dengan mesin pelontar bola automatik, aktiviti ini mencabar ketepatan dan kekuatan setiap pukulan.
Selain itu, keselamatan pemain sentiasa diutamakan. Sebagai langkah perlindungan, topi baseball disediakan untuk melindungi kepala setiap pemain semasa bermain.
Dengan pengawasan keselamatan yang diambil, kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas juga boleh mencuba aktiviti ini.
memanjat.
MEMANJAT
Beralih ke permainan seterusnya, ia direka khas untuk membantu menguatkan otot dan tulang, memberikan manfaat kesihatan yang luar biasa.
Pelbagai jenis dinding pendakian tersedia setinggi kira-kira 50 meter, setiap pemain berpeluang memilih cabaran yang paling sesuai dengan tahap kemampuan dan keberanian mereka.
Pada mulanya, saya agak ragu-ragu dan tidak pasti mampu menghadapinya, tetapi sebaik sahaja saya mula mendaki, perasaan takut itu mula hilang sedikit demi sedikit.
Dinding pertama yang saya pilih kelihatan mudah, namun semakin tinggi saya mendaki, semakin besar cabaran yang dihadapi.
Setiap pemain dipasang dengan tali keselamatan automatik, memastikan kami sentiasa berada dalam keadaan selamat walaupun di ketinggian.
Permainan ini memberi peluang kepada setiap pemain untuk mengatasi ketakutan mereka, serta membuktikan pada diri sendiri bahawa mereka mampu melakukan lebih daripada yang dijangkakan.
KERETA KAYUH
Pedal car atau kereta kayuh merupakan sebuah kenderaan kecil yang dikendalikan dengan menggunakan kaki untuk memijak dan mengayuh pedal.
Dengan trek yang selamat dan direka khas untuk semua peringkat umur, permainan ini merupakan pilihan ideal untuk aktiviti keluarga.
Setiap pemain berpeluang memandu kereta kayuh sambil mengelilingi trek menguji kelincahan dan kecekapan anda dalam mengendalikan stereng.
Banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dicuba di pusat permainan dalam ini, antaranya tube slide, flying fox, ninja track, superball, superhoop, superbowling dan trampoline platform.
Secara keseluruhannya, dengan tarikan untuk semua lapisan umur, destinasi ini paling sesuai untuk keseronokan seisi keluarga.-UTUSAN










