GEORGE TOWN: Kenaikan harga kelapa secara mendadak sejak Oktober lalu memberi kesan besar kepada peniaga santan sehingga memaksa mereka turut menaikkan harga jualan.
Seorang peniaga santan, Abdul Rahim Omar berkata, kenaikan harga santan tidak dapat dielakkan memandangkan mereka sendiri menerima bekalan isi kelapa pada harga yang tinggi.
“Harga isi kelapa naik terlalu mendadak, kalau dahulu, dalam masa 20 tahun harga naik RM3, sekarang ini, dalam tiga bulan sahaja naik sebanyak RM3.
“Sebelum ini, harga isi kelapa pula hanya sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram namun sejak Oktober tahun lalu, ia meningkat kepada RM7 hingga RM8 sekilogram, menyebabkan kos pemprosesan santan turut meningkat.
“Sehingga tahun lalu, saya jual santan pada harga RM10 hingga RM11 sekilogram, tetapi sekarang, terpaksa jual pada harga RM16 hingga RM17 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, bekalan isi kelapa dari pembekal juga semakin berkurangan sehingga menyebabkan peniaga tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan sepenuhnya.
“Kalau kami minta 100 kilogram (kg), mereka hanya dapat beri sekitar 80 kg sahaja. Ini menyukarkan kami kerana permintaan meningkat terutama menjelang perayaan seperti Thaipusam dan Ramadan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap kenaikan mendadak harga kelapa dan santan di pasaran.
Katanya, CAP telah menerima aduan mengenai harga kelapa yang meningkat secara tidak terkawal malah ada peniaga yang menjual sebiji kelapa pada harga RM3.50 berbanding RM2.50 sebelum ini.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Jika mereka didapati membeli pada harga rendah tetapi menjual terlalu tinggi, tindakan juga harus diambil serta-merta, bukan sekadar memberi amaran,” katanya. – UTUSAN











