Lelaki ugut keluarga Harith Iskander dipenjara lima bulan

Lelaki ugut keluarga Harith Iskander dipenjara lima bulan

IZZUDIN Md. Salim (tengah) diiringi anggota polis tiba bagi didakwa atas pertuduhan membuat ugutan kepada pelawak, Harith Iskander dan keluarga di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hati ibu mana yang tidak terluka apabila mengetahui anak perempuannya dijadikan bahan ugutan oleh individu tidak dikenali.

Rentetan itu, Dr. Jezamine Lim yang juga bekas isteri pelawak, Harith Iskander hanya mampu menangis apabila ditanya mengenai permohonan maaf seorang tukang rumah yang membuat ugutan tersebut.

Melihat keadaan bekas isterinya yang juga pengurusnya, Harith memohon agar wanita itu diberikan ruang untuk bertenang.

“Sebagai seorang ibu, semua akan faham perasaan Dr. Jezamine, kita biarkan dia tenang dahulu,” kata Harith. Pasangan itu mempunyai tiga orang anak dan anak perempuan mereka berusia 12 tahun.

Ditanya berhubung perkara sama, Harith berlata, permohonan maaf tersebut dinyatakan tertuduh kepada majistret.

“Dia bercakap dengan hakim (majistret). Bagi saya, kita sudah dapat keputusan dan ‘move on’ dari sini,” kata pemenang Funniest Person in the World 2016.

Terdahulu di Mahkamah Majistret di sini, tukang rumah, Izzuddin Md. Salim, 32, menyatakan kekesalannya dan turut memohon maaf atas perbuatannya itu ketika mengemukakan rayuan.

“Saya minta maaf banyak-banyak. Saya minta hukuman denda kerana ini kesalahan kali pertama, saya janji tidak akan ulang untuk selama-lamanya. Saya berniat mainkan perasaan Harith Iskander sahaja, saya tiada maksud lain,” kata tertuduh itu.

Lelaki terbabit mengaku salah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap anak perempuan pasangan itu yang membawa maksud akan melakukan jenayah rogol dan bunuh terhadap kanak-kanak terbabit.

Kata-kata ugutan yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu diterima dan dibaca oleh Dr. Jezamine pada pukul 8.50 pagi, 23 Januari lalu di sebuah restoran nasi lemak di Dang Wangi di sini.

Pertuduhan terhadap lelaki yang masih bujang itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Selepas merekodkan pengakuan bersalah tertuduh, Majistret S. Mageswary bertanya kepada tertuduh sama ada dia faham akan kesan dan akibat perbuatannya itu. Tertuduh menjawab: “Ya, saya faham.”

Majistret: Kamu berniat untuk mendatangkan ugutan atau tidak?
Tertuduh: Saya hanya berniat untuk main-main sahaja.

Majistret: Jadi keseluruhan kata-kata itu, kamu yang tulis?
Tertuduh: Ya, sebahagian sahaja, kerana perkataan dalam bahasa Inggeris, saya dapatkan daripada AI (kecerdasan buatan).

Ketika membuat hujahan pemberatan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman memohon agar Izzuddin dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat umum.

“Alasan tertuduh untuk memainkan perasaan Harith adalah tidak wajar sama sekali. Perkataan yang digunakan tertuduh menunjukkan akan mendatangkan bencana kepada anak pengadu. Oleh itu, mohon hukuman berbentuk pengajaran wajar diketengahkan bagi kes yang mendapat liputan media massa ini,” kata pendakwa raya itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 terhadap Izzuddin. Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 24 Januari lalu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu, hukuman penjaranya boleh ditambah lagi sebulan.

Mengikut fakta kes, ketika Dr. Jezamine berada di restoran nasi lemak tersebut, beliau dimaklumkan oleh salah seorang kakitangannya bahawa telefon bimbit syarikatnya menerima mesej beserta gambar anak-anak majikannya daripada satu nombor yang tidak dikenali.

Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat, Inspektor Simon Paul mendapati, kata-kata ugutan itu telah ditaip dan dihantar oleh Izzuddin kepada nombor syarikat Dr. Jezamine setelah tertuduh membuat carian di laman sesawang, Google.

Ekoran ugutan yang dibuat, program komedi berdiri ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ yang sepatutnya diadakan di Dewan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) minggu lalu terpaksa dibatalkan atas sebab keselamatan.

Ancaman dipercayai dibuat selepas pelawak berkenaan memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik ham dan disambut pengikutnya dengan pelbagai komen termasuk didakwa mengaitkan nama Nabi Muhammad SAW. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×