WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengubah pendirian rasminya mengenai asal usul Covid-19, memaklumkan virus itu berkemungkinan besar bocor dari makmal China.
Penilaian baharu itu dibuat selepas John Ratcliffe disahkan sebagai Pengarah CIA di bawah pentadbiran Rumah Putih kedua Presiden, Donald Trump.
Ratcliffe yang berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Negara dari 2020 hingga 2021 semasa penggal pertama Trump berkata, keutamaannya pada hari pertama memegang jawatan adalah membuat penilaian tentang asal usul Covid-19.
“CIA menilai dengan keyakinan rendah bahawa asal-usul berkaitan penyelidikan wabak Covid-19 lebih berkemungkinan bukan daripada asal semula jadi berdasarkan badan pelaporan yang ada.
“Penemuan mencadangkan agensi percaya keseluruhan bukti menjadikan asal makmal lebih berkemungkinan daripada asal semula jadi,” kata jurucakap CIA dalam satu kenyataan Sabtu.
Agensi itu sebelum ini tidak membuat sebarang penentuan sama ada Covid-19 telah dilepaskan oleh kemalangan makmal atau disebarkan dari haiwan.
“CIA terus menilai bahawa kedua-dua senario berkaitan penyelidikan dan asal semula jadi pandemik Covid-19 kekal munasabah,” tambah jurucakap itu.
Seorang pegawai AS memaklumkan peralihan itu berdasarkan analisis baharu perisikan sedia ada yang diarahkan oleh Pengarah CIA terdahulu, William Burns, yang telah diselesaikan sebelum ketibaan Ratcliffe minggu ini.
Beberapa agensi AS seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga menyokong teori kebocoran makmal, walaupun dengan tahap keyakinan yang berbeza-beza, manakala kebanyakan elemen komuniti perisikan cenderung kepada asal usul semula jadi.
Penyokong hipotesis kebocoran makmal menyerlahkan bahawa kes Covid-19 yang paling awal diketahui muncul di Wuhan, China yang menjadi hab penyelidikan coronavirus utama kira-kira 1,600 kilometer dari populasi kelawar terdekat yang membawa virus serupa SARS.
Ratcliffe sebelum ini memberitahu saluran berita, beliau percaya virus Covid-19 bocor dari Institut Virologi Wuhan.-AFP











