BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengarahkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma selama seminggu di Bangkok, berkuat kuasa mulai hari ini.
Langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menangani masalah jerebu yang semakin meruncing di ibu negara.
Timbalan Perdana Menteri, Suriya Juangroongruangkit berkata, langkah itu melibatkan perkhidmatan bas dan rel elektrik di Bangkok, dengan kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kerajaan akan memberikan pampasan kepada operator BTS Group Holdings, Bangkok Expressway and Metro serta syarikat bas milik kerajaan bagi menampung kos pelaksanaan langkah ini,” katanya dalam satu sidang media di Bangkok, kelmarin.
Inisiatif itu sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu pencemaran udara yang kritikal di Bangkok, sehingga menyebabkan penutupan sekolah dan arahan bekerja dari rumah.
Keadaan jerebu yang semakin buruk berlaku menjelang cuti Tahun Baharu Cina yang bakal menyaksikan ribuan pelancong dari seluruh Asia mengunjungi Bangkok dan kawasan pantai berhampiran.
Menurut Pusat Penyelidikan Kasikorn, yang berpangkalan di Bangkok, kos ekonomi akibat kemerosotan kualiti udara, khususnya zarah halus PM2.5, dianggarkan mencecah tiga bilion baht (RM399 juta) sebulan melibatkan perbelanjaan kesihatan dan kos berkaitan.
Selain memberikan perkhidmatan percuma, kerajaan turut mengarahkan agensi berkaitan meningkatkan usaha mengatasi jerebu termasuk mendorong lebih ramai bekerja dari rumah, menjalankan operasi pembenihan awan serta memperketat pemantauan terhadap pelepasan asap kenderaan serta habuk dari tapak pembinaan.
Walaupun sebahagian besar jerebu berpunca dari dalam negara, Thailand turut menerima kesan asap pembakaran ladang dari negara jiran seperti Kemboja dan Laos.
Bagaimanapun, kerajaan percaya langkah pengangkutan awam percuma mampu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sehingga 20 hingga 30 peratus.
Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), asap kenderaan, pembakaran ladang di wilayah berhampiran dan pengudaraan udara yang buruk adalah antara punca utama peningkatan pencemaran udara.
Setakat kelmarin, sebanyak 81 peratus daripada 437 sekolah di bawah pentadbiran BMA terpaksa ditutup akibat jerebu.
Bangkok kini menduduki tempat ketujuh sebagai bandar paling tercemar di dunia menurut pemantau kualiti udara, IQAir, dan berada di kedudukan kedua paling teruk di Asia Tenggara selepas Ho Chi Minh City di Vietnam. -AGENSI










